Orang Asli Gua Musang rayu Jakoa bina pagar elektrik elak serangan gajah


Masayarakat Orang Asli di Kampung Aring 5 di Gua Musang berkata sejak kebelakangan ini sekumpulan gajah liar antara lima hingga tujuh ekor semakin kerap berkeliaran di kawasan kampung itu yang boleh terdedah kepada kejadian tidak diingini. – Gambar AFP, 27 Disember, 2019.

MASYARAKAT Orang Asli di Kampung Aring 5 di Gua Musang meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memasang pagar elektrik di kawasan tangki air tadahan bukit bagi mengelakkan berulangnya serangan gajah liar. 

Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5, Raina Anjang, 47, berkata, sejak kebelakangan ini sekumpulan gajah liar antara lima hingga tujuh ekor semakin kerap berkeliaran di kawasan kampung itu yang boleh terdedah kepada kejadian tidak diingini. 

Beliau berkata, dalam tempoh sebulan lalu dua kali berlaku kerosakan paip dan tangki air tadahan bukit apabila dirosakkan sekumpulan gajah liar terbabit hingga menyebabkan keperluan air untuk penduduk perkampungan itu terjejas. 

Raina mendakwa sebelum ini, Jakoa berjanji untuk memasang pagar elektrik, tetapi setakat ini belum lagi berbuat demikian hingga menimbulkan kebimbangan penduduk kerana kerap berdepan dengan gangguan haiwan berkenaan. 

Seorang penduduk Orang Asli, Husin Selik, 61, pula berkata, sekumpulan gajah liar itu masih berselindung dalam kawasan hutan berhampiran dan mungkin akan keluar ke kawasan kediaman penduduk bila-bila masa. 

Katanya, penduduk juga bukan sahaja berdepan dengan masalah air terputus tetapi keselamatan juga terjejas apabila gajah tersebut semakin menghampiri rumah mereka. – Bernama, 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen