Penduduk Kg Segambut Permai tetap mahu rumah kekal


Mohd Farhan Darwis

Wakil penduduk Kampung Segambut Permai Mohd Fariz Ramli (kiri) dan Mohd Nazeem Sultan Mohamed bercakap kepada media ketika protes di ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Disember, 2019.

PULUHAN penduduk Kampung Segambut Permai berhimpun di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini bagi menuntut tawaran unit rumah yang dijanjikan.

Kumpulan peneroka bandar ini kecewa kerana hanya segelintir ditawarkan rumah dan kediaman itu pula perlu dikosongkan selepas enam bulan.

Selain itu, kedudukan rumah transit itu menyukarkan mereka kerana jauh dari tempat kerja dan sekolah anak-anak, kata penduduk ini.

Seorang wakil penduduk, Mohd Nazeem Sultan Mohamed menegaskan kerajaan perlu memberi rumah kekal seperti dijanjikan kerana kampung itu bukan perumahan setinggan.

“Kami buat perjanjian dengan pemilik tanah atas janji menteri wilayah.

“Kami jangka akan diberikan rumah yang sempurna untuk kami tapi rumah yang diberikan adalah rumah transit selama enam bulan, tiada jaminan berkekalan.

“Kami takut kena berpindah lagi, unit yang diberikan pula berselerak, jarak jauh dari sekolah dan tempat kerja kami, perlu tukar sekolah dan tempat kerja,” kata Mohd Nazeem, 36.

Selain itu, hanya 22 daripada 33 keluarga yang terjejas diberikan surat tawaran untuk menduduki rumah transit tersebut, katanya.

Seorang lagi wakil penduduk, Mohd Fariz Ramli, 35, menganggap tindakan DBKL itu satu penganiayaan dan penipuan kerana menurutnya mereka tidak dimaklumkan mengenai notis mahkamah.

Menurutnya, pada 2013 penduduk menerima notis daripada mahkamah supaya mengosongkan rumah dan tanah mereka, selepas penduduk dikatakan bersetuju untuk berbuat demikian.

Penduduk Kampung Segambut Permai turut membawa sepanduk dan kain rentang dengan mesej yang menyindir pemimpin PH kerana gagal membela nasib mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Disember, 2019.

Namun, perkara itu katanya hanya disedari pada 2019 selepas notis amaran terakhir dikeluarkan mahkamah.

“Keseluruhan penduduk kampung dikatakan bersetuju kosongkan struktur unit rumah, kami cuba buat bantahan di mahkamah tapi diberitahu sudah terlambat.

Kumpulan penduduk itu berhimpun seawal kira-kira jam 10 pagi ini di hadapan ibu pejabat DBKL dan melaungkan slogan “Hidup rakyat”, “Hidup peneroka”, “Kami mahu rumah sewa beli”.

Penduduk itu turut membawa sepanduk dan kain rentang dengan mesej yang menyindir pemimpin Pakatan Harapan kerana gagal membela nasib mereka.

Ia antara lain menyebut, “Sebelum jadi kerajaan anda juara rakyat, selepas jari kerajaan krik krik krik…”.

Pasukan penguatkuasa DBKL berusaha meranapkan rumah penduduk pada Selasa lalu namun dihalang penduduk dan aktivis Parti Sosialis Malaysia.

Penduduk kampung kemudiannya dibenarkan menyerahkan memorandum dan mengadakan perbincangan dengan wakil kementerian, Nik Razak.

Melalui perbincangan yang berjalan hampir dua jam itu, penduduk diberikan peluang memberikan penjelasan terhadap masalah yang dihadapi mereka.

Wakil penduduk, Nazeem seterusnya berkata mereka menyampaikan tiga tuntutan utama, termasuk desakan agar diberi kawasan petempatan secara berkelompok berhampiran kawasan sedia ada.

Tegasnya, penduduk juga perlu dibenarkan menyewa dan seterusnya memiliki rumah terbabit.

Menurutnya, pegawai berkenaan memaklumkan perkara itu hanya boleh diputuskan oleh menteri dan datuk bandar.

“Mereka akan berbincang dan buat semakan kawasan PPR mana yang boleh tempatkan kami semua, pegawai juga maklumkan hanya datuk bandar dan menteri wilayah yang boleh buat keputusan.

“Mereka akan beri jawapan kepada tuntutan kami pada Selasa minggu hadapan, jadi kami akan datang lagi ke sini ketika itu,” katanya.

Beliau juga berharap penduduk akan menerima jawapan positif untuk mengelak mereka mengambil tindakan terdesak.

“Harapnya semua berakhir dengan aman, penduduk kampung terdesak, dan kami khuatir orang terdesak akan ambil tindakan terdesak dan merugikan semua pihak,” kata Nazeem. – 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen