Ops Lestari 2: Fuziah jangan cuba jadi juara, kata Pemuda Umno


Semalam, kira-kira 200 orang berkumpul di Kuala Terla cuba menghalang Ops Lestari 2 yang dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dengan dibantu beberapa agensi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2019.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) cuba jadi juara rakyat apabila menyalahkan kerajaan Pahang seratus peratus merobohkan kebun sayur haram dan struktur bangunan tanpa izin di Cameron Highlands, kata Pemuda Umno.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Pahang Fadzli Mohamad Kamal mengulas kenyataan Pengerusi PH Pahang Fuziah Salleh yang menuduh kerajaan Pahang bertindak ganas ke atas pekebun sayur dalam menjalankan Ops Lestari 2 semalam.

Fadzil hairan kenapa hanya kerajaan negeri disalahkan sedangkan operasi itu katanya melibatkan agensi kerajaan dari persekutuan.

Malah, tambahnya, operasi itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands Bil 2/2019, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, awal bulan ini.

“Kenapa Fuziah hanya mahu menyalahkan kerajaan negeri Pahang semata-mata dalam operasi penguatkuasaan ini? 

“Kenapa Fuziah enggan menegur dan mengkritik TPM dan kerajaan persekutuan?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fadzil, Ops Lestari 2 dijalankan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi persekutuan yang lain, seperti diputuskan dalam mesyuarat itu.

Fuziah dalam satu kenyataan hari ini kesal apabila kerajaan Pahang menggunakan keganasan ke atas pekebun sayur di Cameron Highlands dalam operasi tersebut.

Semalam, kira-kira 200 orang berkumpul di Kuala Terla cuba menghalang Ops Lestari 2 yang dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dengan dibantu beberapa agensi kerajaan.

Operasi tersebut dijalankan di tanah kebun haram seluas 97.12 hektar membabitkan 60 pemilik dan kebanyakannya diusahakan di Sungai Ichat, Kuala Terla.

Menurut Fadzli, pekebun sayur di Sungai Tiang telah diberi notis sejak Februari tahun lalu, manakala pekebun sayur di Sungai Ichat diberi notis sejak Mac tahun ini, untuk mengosongkan kawasan kebun mereka. 

“Justeru, tidak timbul dakwaan kononnya kerajaan negeri Pahang menindas atau menzalimi pekebun sayur yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor meminta peneroka pekebun haram yang terlibat agar tidak termakan hasutan pemimpin PH dan aktivis.

Jelasnya, tindakan tidak popular tersebut dilakukan demi menjaga keselamatan rakyat setempat berbanding pimpinan PH yang sering menabur janji manis tanpa mengira kesannya.

“Menteri besar tidak sesekali membuat janji-janji manis berbentuk retorik demi menjaga maruah BN, walaupun kita juga ingin mendapat undi di Kuala Terla. 

“Ini kerana prinsip Menteri Besar Pahang sangat mudah, apa jua keputusan perlu merangkumi keseluruhan faedah dan keselamatan rakyat setempat,” katanya.

Beliau turut meminta rakan komponen BN, MIC supaya dapat menenangkan peneroka yang terlibat.

“Usahlah mengapi-apikan isu ini kerana perundingan adalah cara yang terbaik untuk penyelesaian,” ujarnya.

Ops Lestari 2 dijalankan selepas berlaku pencemaran air yang sangat teruk di kawasan yang diteroka selain turut berlaku pergerakan cerun yang mampu mengakibatkan bencana tanah runtuh pada masa depan. – 24 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen