Ambiga berdiam diri tentang peranannya dalam saman fitnah Hadi, Sarawak Report


“Saya fikir saya tak boleh bincangkan prosiding yang sedang berlaku di mahkamah UK,” katanya dalam jawapan WhatsApp kepada The Malaysian Insight. Semalam Clare Rewcastle-Brown dalam kenyataan pembelaan dan tuntutan balas kes saman PAS mengatakan pernah bercakap dengan Ambiga mengenai Najib Razak, 1MDB dan PAS.

PEGUAM Ambiga Sreenevasan enggan mengulas dakwaan yang beliau merupakan pemberi maklumat kepada Ketua Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mengenai kepimpinan PAS yang menerima RM90 juta daripada dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sehari selepas beliau dinamakan sebagai sumber maklumat untuk Rewcastle-Brown, bekas presiden Majlis Peguam itu mengatakan beliau tidak boleh mengulas prosiding mahkamah yang sedang berlangsung di UK.

“Saya fikir saya tak boleh bincangkan prosiding yang sedang berlaku di mahkamah UK,” katanya yang juga bekas pengerusi Bersih 2.0 dalam jawapan WhatsApp kepada The Malaysian Insight.

Menurut kenyataan pembelaan dan tuntutan balas Rewcastle-Brown yang diberikan kepada The Malaysian Insight semalam, aktivis berpengkalan di UK itu mengatakan dia bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 berkaitan isu Najib Razak, 1MDB dan PAS.

“Ambiga beritahu kepada defendan, yang menurutnya sumber itu sebagai boleh dipercayai, jumlah yang diberikan itu sekitar RM90 juta,” kata Rewcastle-Brown dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu.

Dokumen pembelaannya difailkan kepada mahkamah berhubung saman fitnah Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadapnya April lalu.

Hadi mendakwa dirinya difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk “As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connections” bertarikh 6 Ogos, 2016.

Rencana itu mendakwa wang itu bertujuan untuk menyogok PAS supaya menyebelahi Barisan Nasional.

Rewcastle-Brown berkata sebahagian perbualannya dengan Ambiga itu bertujuan baik, selain sebagai komentar politik yang berkaitan kepentingan awam.

Tambahnya, kenyataannya itu bukan bersifat peribadi dan tidak ditujukan kepada Hadi mahupun sesiapa.

Saman itu juga turut menuduh Najib menyalurkan lebih RM200 juta kepada bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa sejak 2014 dengan tujuan mendanai sekumpulan dalam PAS. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen