SATU daripada lima remaja di Malaysia didapati tidak tamat pendidikan sekolah menengah, menurut satu laporan kajian sekumpulan 13 NGO kanak-kanak.
Punca utamanya, hanya pendidikan sekolah rendah diwajibkan di Malaysia pada masa ini, menurut Laporan Mengenai Status Hak Kanak-Kanak di Malaysia 2018.
Selain itu, laporan oleh Child Rights Coalition yang diadakan sepanjang 2018 itu juga mendapati ia lebih banyak menjejaskan kanak-kanak di kawasan terpencil.
“Lebih menyedihkan, kanak-kanak daripada kawasan terpencil dan Sarawak yang menghadapi masalah untuk meneruskan pendidikan di peringkat sekolah menengah dikahwinkan awal atas faktor ekonomi.”
Laporan itu juga mendapati masih ramai anak golongan berpendapatan rendah dan minoriti tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kajian itu mendapati, hanya 17,338 orang daripada golongan B40 melanjutkan pengajian – daripada 182,409 orang pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun lalu.
Selain itu, hanya 299 orang golongan OKU dan 348 keturunan Orang Asli melanjutkan pengajian, selain seramai 1,225 atlet sukan, menurut kajian itu.
Paling teruk terjejas adalah golongan muda dari keluarga migran yang hanya dibenarkan belajar di Pusat Pendidikan Alternatif (ALC).
Kanak-kanak yang tiada dokumen kelahiran yang sah pula tidak berpeluang menikmati pendidikan standard dan percuma.
“(Seramai) 43,973 kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di negara ini yang tidak berpeluang menerima pendidikan formal,” laporan itu dipetik.
Salah seorang wakil NGO tersebut, Melissa Mohd Akhir berkata hanya separuh daripada lebih 33,600 kanak-kanak pelarian berdaftar di sekolah rendah sehingga Ogos tahun ini.
Selain itu hanya 27% daripadanya pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian itu belajar di sekolah di sekolah menengah.
Oleh itu, mereka berharap golongan itu dibenarkan berdaftar dengan tabika serta sekolah kendalian kerajaan selain menduduki peperiksaan, kata Melissa.
Pegawai Pertubuhan Pertolongan Wanita itu, yang merupakan salah satu NGO Child Rights Coalition berkata laporan ini dibuat untuk kerana kerajaan gagal membuat laporan mengenainya sejak 2006.
Katanya, kerajaan perlu mengemukakan laporan setiap tahun seperti dikehendaki Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Kegagalan kerajaan mengemukakan laporan itu sejak 2006 diakui Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Beliau hari ini mengumumkan, laporan itu sedang diperhalusi kementeriannya dan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan ke Kabinet. – 20 Disember, 2019.
Komen