Malaysia perlu 1,500 pelindung kanak-kanak, kata timbalan menteri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata kementeriannya sedang berbincang dengan JPA mengenai perkara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2019.

JUMLAH pelindung kanak-kanak akan ditambah untuk menangani kes seperti penderaan dan pengabaian, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Katanya, kementeriannya sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah bilangan pelindung itu kepada 1,500 orang.

“Sehingga kini hanya terdapat 208 pelindung kanak-kanak dan jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menangani pelbagai kes seperti penderaan, pengabaian dan masalah berkaitan pemeliharaan kanak-kanak.

“Buat masa ini seorang pelindung kanak-kanak mengambil sebanyak 80 kes kanak-kanak. Nisbah pelindung dan kanak-kanak yang sebenar pula ialah sebanyak 1:45,142 orang dan ia tidak mencukupi,” katanya.

Jelas beliau sekiranya jumlah pelindung itu tidak ditambah, kerajaan akan menanggung kos lebih tinggi di masa hadapan.

“Kita tidak boleh abaikan mereka. Kalau kita tidak cukup kakitangan dan bajet untuk jaga populasi ini, kos yang kita akan belanjakan seperti intervensi, penjara itu akan lebih mahal pada masa hadapan,” katanya.

Beliau juga mengumumkan, laporan status hak asasi kanak-kanak Malaysia akan dihantar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun depan.

Katanya, laporan itu seterusnya akan dibentangkan ke Kabinet sebelum dihantar ke Konvensyen PBB mengenai hak asasi kanak-kanak di Geneva.

Sebelum itu, laporan yang kini sedang diteliti jabatan undang-undang kementeriannya akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pula, katanya.

“Ia bertujuan jabatan itu meneliti sama ada semua isi kandungan laporan mematuhi undang-undang negara,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan laporan mengenai status hak kanak-kanak itu.

Beliau hari ini melancarkan satu laporan oleh gabungan NGO isu kanak-kanak, Child Rights Coalition Malaysia. – 20 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen