Kecewa keputusan mahkamah tetapi sudah 'jangka', kata Bersih


Yap Pik Kuan Muzliza Mustafa Yasmin Ramlan

“Seolah-olah SPR bebas buat apa sahaja yang mereka mahu,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mengulas mengenai penghakiman Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi supaya SPR tidak menghantar laporan persempadanan semula tanpa Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2017.

PENGHAKIMAN Mahkamah Rayuan hari ini yang mengetepikan injuksi Mahkamah Tinggi supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menghantar laporan persempadan semula tanpa Selangor mengecewakan tetapi sudah dijangka, kata Bersih.

“Kami kecewa tetapi sudah menjangka,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah kepada The Malaysian Insight.

“Dalam semua kes kami di Selangor, Melaka dan Johor, kami tak terima keputusan memihak (kepada kami) dari mahkamah.”

“Seolah-olah SPR bebas buat apa sahaja yang mereka mahu,” kata Maria.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Meng merasakan keputusan itu tidak berasas kerana injuksi yang dikeluarkan untuk menghentikan proses persempadanan semula di Selangor tidak menjejaskan proses di negeri lain.

“Saya harap ini tidak bermaksud yang pelan persempadanan semula akan diserahkan kepada perdana menteri tanpa mengikuti (prosedur) Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki pendengaran awam dilakukan di sekurang-kurangnya dua kali di setiap negeri di Semenanjung.

“Menurut Perlembagaan, Semenanjung Malaysia dianggap sebagai satu unit. Persempadanan semula tidak boleh dilakukan tanpa Selangor. Saya merasakan jika pelan sedia ada diserahkan kepada perdana menteri, perkara ini boleh dibawa ke mahkamah kerana ia melanggar Perlembagaan,” kata pengarah strategi pilihan raya DAP itu.

Penghakiman hari ini akan membenarkan SPR untuk menghantar laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada perdana menteri.

Tetapi Ahli Parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN) mengatakan mahkamah hanya mahu membenarkan SPR menjalankan tugasnya.

“Saya rasa mahkamah merasakan SPR hanya cuba menjalankan tugas mereka menurut undang-undang sedia ada dan Selangor sepatutnya tiada sebab untuk menghalang mereka (SPR),” kata Kamalanathan kepada The Malaysian Insight.

Pada Julai lalu, mahkamah tinggi mengeluarkan keputusan memihak kepada Kerajaan Selangor yang memohon untuk menghalang SPR sehingga tamatnya kes mencabar proses persempadanan semula dilakukan Selangor.

SPR merayu keputusan mahkamah tinggi itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan termasuklah Azmadi Asnawi dan Suraya Othman tidak mendedahkan mengapa penghakiman sebelum itu dibatalkan sebulat suara.

Kerajaan Selangor telah memfailkan injuksi pada 25 April bagi menghalang SPR daripada melakukan tahap kedua proses persempadanan semula di Semenanjung sehinggalah kes cabaran diputuskan mahkamah.

Ia juga meminta arahan supaya mahkamah menghalang SPR daripada menghantar laporan kepada Perdana Menteri Najib Razak yang seterusnya akan membentangkan penemuan persempadanan semula di Dewan Rakyat untuk kelulusan selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR sebelum ini berkata yang tindakan SPR mengeluarkan notis kedua untuk tahap kedua proses persempadanan semula melanggar Perkara 113 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu memperuntukkan yang perlu adanya semakan berasingan untuk negeri di Malaya, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan negeri memfailkan cabaran perundangan Oktober tahun lepas, memohon pembatalan notis persempadanan semula dikeluarkan SPR, mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam merangka sempadan baru kawasan pilihan raya.

SPR mengeluarkan notis 18 muka surat di akhbar utama September lalu mengenai cadangan persempadanan semula di Semenanjung Malaysia dan Sabah. – 30 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen