Siasat semula bicara, kes bunuh Altantuya, kata Kit Siang


Seluruh siasatan, pendakwaan dan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu 13 tahun lalu wajib disiasat selepas pendedahan bahawa Najib Razak mengarahkan pembunuhan warga Mongolia itu, kata Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2019.

SELURUH siasatan, pendakwaan dan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu 13 tahun lalu wajib disiasat selepas pendedahan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak mengarahkan pembunuhan warga Mongolia itu, kata Lim Kit Siang.

Penasihat DAP itu berkata siasatan pembunuhan model dan penterjemah berusia 28 tahun yang didakwa mempunyai hubungan dengan Najib perlu dibuka semula susulan pendedahan itu dinyatakan dalam akuan bersumpah pembunuhnya, Azilah Hadri baru-baru ini.

“Akuan bersumpah mengejutkan yang dibuat oleh bekas komando Azilah Hadri yang menunggu hukuman mati membolehkan siasatan dijalankan ke atas seluruh proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

“Ini bukan hanya mempertaruhkan reputasi Najib dan (isterinya) Rosmah Mansor, tetapi reputasi dan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara maju serta masyarakat bertamadun yang menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lim, sejak perbicaraan pada 2008 lagi beliau menggesa supaya kes tersebut disiasat semula, sambil menekankan beliau tidak pernah menuduh Najib membunuh Altantuya.

Tetapi beliau sentiasa percaya “roh Altantuya akan terus menghantui Najib dan Malaysia sehinggalah satu siasatan menyeluruh” terhadap motif pembunuhan dan identiti pembunuh sebenar, kata Lim.

Dalam akuan bersumpahnya bertarikh 17 Oktober tahun ini, Azilah mendakwa Najib sendiri mengarahkannya membunuh Altantuya. Najib adalah timbalan perdana menteri ketika didakwa mengeluarkan arahan itu.

Pegawai khas Najib ketika itu, Abdul Razak Baginda, juga memberi arahan sama, dakwa bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

Altantuya dibunuh sekitar waktu malam 19 Oktober dan awal pagi 20 Oktober 2006.

Razak Baginda dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan Altantuya, tetapi dibebaskan tanpa perlu membela diri. Sementara Azilah dan seorang lagi anggota UTK, Sirul Azhar Umar disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Lim yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri menegaskan siasatan ke atas pembunuhan warga Mongolia itu perlu dibuka semula.

Ini termasuk akuan bersumpah pertama penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 yang ditarik balik sehari kemudian.

Tambah Lim, keterangan dan kenyataan Sirul semasa perbicaraan lalu juga perlu diambil kira, yang berkata beliau “menjadi mangsa” untuk melindungi beberapa individu tertentu.

Pada hujung Oktober tahun lalu, polis mengambil kenyataan usahawan Deepak Jaikishan yang mendakwa Najib dan isteri, Rosmah Mansor terlibat dengan pembunuhan Altantuya.

Tuduhan itu dibuat dalam satu wawancara.

Susulan itu, polis pada Januari 2018 mengambil keterangan Musa Safri, salah soerang saksi utama kes pembunuhan itu.

Susulan itu, Najib pada Februari mempersoalkan tindakan polis yang masih belum membuka semula siasatan. Beliau turut membuat laporan menggesa agar beliau disiasat.

Altantuya dibunuh pada 2006 di dalam hutan di Puncak Alam. Wanita muda itu ditembak di bahagian kepala dan badannya diletupkan dengan bom C4.

Seorang lagi pegawai polis yang disabitkan kesalahan kes itu adalah Sirul Azhar Umar. Anggota komando itu melarikan diri ke Australia selepas disabitkan kesalahan.

Kedua-duanya merupakan bekas pengawal Najib. – 17 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen