Ekonomi kitaran asas dasar hijau negara


DI Malaysia, apabila penggunaan teknologi hijau dicernakan, matlamat penggunaannya sering disasarkan untuk jangka masa panjang sedangkan banyak lagi kaedah-kaedah teknologi hijau yang boleh digunakan dalam jangka masa pendek.

Inisiatif jangka masa pendek paling ketara yang boleh dilihat ialah dengan mengenakan caj sebanyak 20 sen bagi setiap beg plastik biodegrasi yang ingin digunakan, mengharamkan penggunaan penyedut plastik dan polisterina.

Walaupun pendekatan inisiatif ini tidak menyeluruh tetapi ia mudah untuk dilaksanakan sebagai salah satu cara memelihara dan memulihara alam sekitar.

Teknologi hijau dikatakan sebagai salah satu cara penyelesaian untuk menangani isu tenaga dan alam sekitar yang berlaku secara serentak, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Menerusi Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia (GTMP), Malaysia merangka pelan pembangunan teknologi hijau merangkumi empat tonggak utama yang ditetapkan dalam Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan iaitu tenaga, persekitaran, ekonomi dan sosial.

Namun, apabila wacana dasar menekankan kemanfaatan penggunaan plastik dari segi pengurangan pencemaran alam sekitar, Profesor David Tyler daripada Universiti Oregon mengatakan sebaliknya.

Kajian Profesor David Tyler berfokuskan kepada Penilaian Kitaran Hayat atau Life-Cycle Assessment (LCA), di mana LCA menggunakan teknik menilai alam sekitar yang merangkumi semua proses pembuatan yang dihasilkan dengan mengambil kira jenis bahan mentah, jumlah tenaga yang digunakan, kesan kepada pemanasan global, pengasidan laut, potensi kepada pencemaran air, tanah, dan udara.

Memeranjatkan bahawa hasil penyelidikan beliau telah mendapati bahawa penggunaan beg plastik sebenarnya lebih “hijau” daripada menggunakan beg kertas dan beg kapas atau kanvas.

Dibandingkan dengan beg kapas (cotton) atau kanvas, pokok kapas itu sendiri memerlukan air yang banyak untuk membesar, dan lebih 25% penggunaan racun perosak di Amerika Syarikat digunakan hanya untuk menjaga pokok kapas sahaja.

Tetapi ia tidak bermaksud beg plastik bagus untuk alam sekitar.

Ini menimbulkan persoalan yang penting, adakah penghasilan plastik itu berbahaya, atau cara pengurusan plastik itu yang berbahaya?

Menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, semasa pelancaran Kongres Dunia Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA) 2018, diianggarkan 38,000 tan sampah dihasilkan oleh rakyat Malaysia setiap hari, dan hanya 24% daripadanya boleh dikitar semula. Ini bermakna, secara purata, seorang individu menghasilkan 1.1kg sampah setiap hari.

Pada bulan April yang lepas, kita dikejutkan pula dengan berita bahawa Malaysia antara negara sasaran pengeksport sampah untuk membawa masuk pelbagai sisa sampah haram ke dalam negara.

Lebih daripada 150 kontena yang mengandungi sisa tercemar berlabuh di Malaysia. Ia secara tidak langsung menampakkan kelemahan dan ketidakseriusan penguatkuasaan di Malaysia dalam membanteras kemasukan sisa tercemar secara haram ini.

Keupayaan penguatkuasaan di Malaysia menjadi tanda tanya. Bagaimana lebih daripada 150 kontena dapat melepasi kawalan penguatkuasaan di pelabuhan Malaysia?

Apa yang mengejutkan ialah kebanyakkan sisa ini dibawa masuk oleh pengusaha kilang haram yang ada di Malaysia sendiri. Lebih memalukan, ianya didedahkan melalui program TV, 60 minutes, terbitan Nine Netwok, yang berpengkalan di Australia.

Namun, Malaysia boleh melihat ini sebagai satu peluang. Peluang untuk menjadi negara “hijau” atau negara “Kitar Semula” dan bukannya negara “Tong Sampah”.

Negara Filipina misalnya, mereka mengambil kesempatan ke atas lebihan sisa plastik ini, dengan membuat kraf tangan berasaskan plastik, terkenal dengan nama gerakan seni kraf plastik atau plastic craft movement.

Jenama peralatan sukan terkenal, Nike, telah memperkenalkan Nike Grind, satu produk yang diperbuat daripada bahan kitar semula dan sisa lebihan daripada proses pembuatan untuk dijadikan produk kasut yang baharu.

Selain itu, terdapat lambakan video “life hack” di Internet yang menerangkan cara untuk menggunakan barangan terpakai untuk menghasilkan satu produk lain untuk kesenangan harian. Malaysia boleh mengambil pendekatan yang sama, mematenkannya, memproses dan dikilangkan untuk tujuan pengeluaran besar-besaran.

Ini mewujudkan trend terbaru, “Recycle is the new black”, atau “Second-hand is the new smart way”. Ini secara tidak langsung dapat mengubah persepsi masyarakat akan kepentingan menggunakan barangan terpakai.

Semua idea kreatif dan inovasi ini menggalakkan lagi ekonomi kitaran (CE) atau circular economy. Konsep CE diadaptasi daripada fenomena semulajadi, kitaran makanan flora dan fauna, dari tumbuhan menjadi makanan kepada haiwan, dan akhirnya nutrisi haiwan tersebut kembali kepada tumbuhan.

Konsep CE ini akan mengubah gaya hidup kita pada masa hadapan. Peralihan daripada ekonomi linear (yang sedang dipraktikan) kepada ekonomi kitaran bukan sahaja mengurangkan kesan negatif ekonomi linear, tetapi ia merupakan peralihan kepada sistem yang lebih kamil dan sistematik dalam membina masyarakat yang lebih bertamadun kepada alam sekitar, selain memanjangkan hayat bumi yang semakin tercemar akibat kerakusan manusia, seterusnya menjana peluang pekerjaan baharu yang lebih hijau untuk manfaat alam sekitar dan masyarakat. 

Namun, bagaimana pula dengan barangan yang tidak boleh dikitar semula? Apa yang boleh dilakukan? Malaysia telah memperkenalkan teknologi Loji Sisa ke Tenaga (WTE) atau Waste-To-Energy. Teknologi WTE ini merupakan teknologi yang memproses sisa pepejal yang tidak boleh dikitar semula dan menukarnya kepada haba, wap dan seterusnya kepada penjanaan tenaga elektrik.

Negara seperti Sweden, Jerman, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, malah negara jiran Singapura sudah lama menggunakan teknologi WTE ini kerana impaknya sangat baik bukan sahaja kepada negara itu sendiri malahan kehidupan rakyatnya juga. Justeru, teknologi seperti ini perlu diperluaskan ke setiap negeri yang ada di Malaysia.

Solusi pintar dan teknologi berlandasan AI diperlukan dalam memudahkan dan memastikan keampuhan proses dan perlaksanaan pengurusan sisa pepejal terutamanya dalam konteks Malaysia.

Tanpa pengurusan sisa pepejal yang mampan, Malaysia akan berhadapan masalah sama berulang kali, sama seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim, Jenjarom, Kulim dan Sungai Petani.

Kawalan indeks pencemaran air, tanah dan udara perlu diselaraskan ke dalam satu sistem bersepadu. Dengan kemunculan revolusi industri ke-4 (4IR) dan rangkaian jalur lebar 5G, Malaysia perlu memanfaat teknologi ini dengan mengimbangi atau mengintegrasi sistem sedia ada berteraskan Internet untuk Segalanya (IoT).

Selaras dengan trend 2020, IoT boleh memberi nafas baru kepada sistem elektronik untuk saling berhubung antara satu sama lain. Konsep tech-marriage atau “perkahwinan” di antara dua atau lebih sesuatu teknologi perlu diketengahkan.

Bermaksud, jika indeks pencemaran di sesuatu kawasan itu tidak normal, atau melepasi zon selamat, penduduk di kawasan terlibat boleh mendapat notis pemberitahuan secara elektronik ke peranti telefon masing-masing. Secara tidak langsung, ia memberi lebih masa untuk penduduk di kawasan terlibat membuat persediaan dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu.

Akhir sekali, semua ini berbalik kepada pendidikan. Didikan yang betul dan komprehensif, merentasi umur perlu diberi perhatian secukupnya. Polisi yang lengkap dan efektif wajar diimplementasi dan bukan hanya berakhir diatas kertas putih. Penguatkuasaan yang tegas dan cekap terhadap aktiviti haram perlu dibanteras sedalam yang mungkin untuk kelestarian hidup yang lebih hijau. – 16 Disember, 2019.

* Amir Jalal adalah pegawai penyelidik di EMIR Research.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen