'Sukan Tak Sentral' tamat siaran, pengacara dipanggil polis


POLIS akan memanggil pengacara rancangan komedi “Sukan Tak Sentral” yang dikatakan menghina mendiang bapa pelari pecut negara, Watson Nyambek, untuk disoal siasat, lapor theSun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Dev Kumar berkata pengacara itu akan disoal siasat polis di Kuala Lumpur susulan laporan polis dibuat Watson terhadap program televisyen itu semalam.

Katanya, siasatan kes itu dibuat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan penghinaan yang disengajakan dengan niat memecah keamanan.

Jika disabitkan bersalah, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar semalam penerbit rancangan itu, Primeworks Studios berkata rancangan itu ditamatkan siarannya serta-merta.

Pada sidang akhbar yang turut dihadiri Watson itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Ahmad Izham Omar mengumumkan tugas pengacara terbabit , Azizul Ammar Abu Hassan bersama enam kru digantung tanpa tempoh masa ditetapkan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Izham berkata Azizul Ammar juga tidak akan dipanggil untuk mana-mana rancangan di Primeworks Studios.

Semalam, Watson membuat laporan polis di Miri dan mendesak polis menyiasat motif di sebalik tindakan pengacara itu menghina bapanya.

Menerusi rancangan yang disiarkan pada Sabtu lalu itu, pengacara Azizul Ammar dikatakan mengejek nama bapa Watson dengan disamakan seperti haiwan. – 25 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen