Wanita Arab Saudi akan dibenarkan masuk stadium


Wanita di Arab Saudi akan dibenarkan untuk memasuki stadium bagi menyaksikan acara sukan mulai tahun depan. – Gambar AFP, 30 Oktober, 2017.

WANITA di Arab Saudi akan dibenarkan untuk memasuki stadium bagi menyaksikan acara sukan mulai tahun depan.

Arab Saudi adalah antara negara yang mengenakan larangan ketat terhadap wanita, sejak sekian lama menghalang wanita menyertai arena sukan, berikutan peraturan pengasingan jantina di tempat awam.

Pengumuman itu selaras dengan pelan perubahan dilancarkan oleh Putera Mahkota Mohammed Salman yang mengejutkan negara ultra konservatif itu, termasuk keputusan bersejarah yang membenarkan wanita memandu kenderaan mulai Jun tahun depan.

“Persiapan sudah dibuat di tiga stadium di Riyadh, Jeddah dan Damman untuk menerima kehadiran keluarga bagi menyaksikan acara sukan mulai awal tahun depan,” kata pihak berkuasa sukan kebangsaan di Twitter.

Susulan itu, pihak berkuasa berkata beberapa kemudahan tambahan seperti restoran dan kafe akan dibina di dalam stadium, selain pemasangan skrin pengawasan.

Buat kali pertama pada bulan lalu, ratusan wanita dibenarkan memasuki stadium sukan di Riyadh, yang sering digunakan bagi perlawanan bola sepak bagi meraikan Hari Kebangsaan Arab Saudi.

Mengikut sistem penjagaan keluarga, secara kebiasaannya bapa, suami atau abang perlu memberi kebenaran kepada wanita untuk melanjutkan pelajaran, melancong atau mengikuti lain-lain aktiviti.

Bagaimanapun, Arab Saudi dilihat semakin memberi kelonggaran kepada beberapa peraturan susulan pelancaran Wawasan 2030 yang menyaksikan perubahan ekonomi dan sosial, antara lain menyasarkan peningkatan tenaga kerja wanita. – AFP, 30 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen