Aung San Suu Kyi beri amaran krisis Rohingya boleh tercetus semula


Aung San Suu Kyi menggesa ICJ mengetepikan kes terhadap Myanmar dengan memberi amaran ia akan mencetus semula krisis yang menyebabkan lebih 750,000 Muslim Rohingya menjadi pelarian. – Gambar EPA, 13 Disember, 2019.

PEMENANG Hadiah Nobel Keamanan 1991 Aung San Suu Kyi menggesa hakim mengetepikan kes terhadap Myanmar dengan memberi amaran ia akan mencetus semula krisis yang menyebabkan lebih 750,000 Muslim Rohingya menjadi pelarian.

Ketua umum Myanmar itu berkata demikian dalam hujah penutupnya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.

Suu Kyi menafikan tuduhan terhadap Myanmar, malah menunjukkan gambar perlawanan bola sepak yang diadakan baru-baru ini di kawasan yang terjejas akibat keganasan pada 2017 sebagai bukti bahawa keadaan di Rakhine kini sudah aman.

“Saya berdoa semoga keputusan yang dibuat dengan bijaksana dan adil akan membantu kami mewujudkan perpaduan,” katanya.

“Tindakan yang menimbulkan rasa curiga, menyemai keraguan atau mencetus kemarahan dalam masyarakat yang baru sahaja membina kepercayaan akan menjejaskan usaha perdamaian.

“Apa yang paling utama bagi negara kami adalah menamatkan konflik dalaman yang berpanjangan. Namun penting juga kita mengelak konflik dalaman 2016-17 di utara Rakhine tidak tercetus semula,” tambah Suu Kyi di mahkamah semalam. 

Myanmar berdepan tuduhan di ICJ yang difailkan oleh Gambia dengan sokongan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berhubung kekejaman terhadap etnik Rohingya sejak beberapa tahun lalu.

Gambia mendakwa Myanmar atas tuduhan melanggar Konvensyen Penghapusan Kaum (Genocide Convention) 1948 dan terlibat jenayah pembunuhan ramai-ramai, rogol dan usaha penghapusan etnik. – AFP, 13 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen