Tidak berbangkit pecat Azmin, tegas Anwar


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Anwar juga berkata pihaknya sentiasa berlapang dada dan memaafkan pimpinan daripada kumpulan Azmin yang bertindak meninggalkan dewan persidangan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2019.

TIDAK berbangkit isu memecat Mohamed Azmin Ali selaku timbalan presiden PKR, walaupun perkara itu disuarakan oleh beberapa perwakilan semasa membahaskan ucapan dasar presiden, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, tiada pimpinan PKR yang bersetuju dan menyatakan pandangan mereka terhadap perkara itu sementara pihaknya juga sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Azmin.

“Perkara ini (pecat Azmin) tidak berbangkit. Ini hanya disuarakan oleh perwakilan tetapi tidak ada pimpinan yang bagi respons bersetuju. 

“Saya tiada masalah berbincang tapi masalah yang disuarakan dengan kuat adalah sentimen parti mahu (parti) bersatu dan tidak bertolak-ansur dengan mereka yang dianggap menyimpang dari disiplin parti,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Kongres Nasional PKR di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Sebelum itu, dalam ucapan penggulungannya Anwar berkata beliau mendengar pandangan perwakilan kongres yang mahu beliau sebagai presiden parti bertindak lebih tegas menjaga disiplin organisasi dipatuhi.

“Saya akan jadi lebih tegas berbanding sebelum ini,” kata Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perwakilan dan pembahas yang hadir ke kongres juga dilihat tegas mahu pimpinan parti bersatu.

“Perwakilan menyatakan dengan tegas pendapat mereka dan sentimennya sangat kuat, mereka mahu parti bersatu dan menjadi lebih berdisiplin.

“Saya merasakan mesej ini akan saya sampaikan kepada pimpinan untuk dinyatakan dalam mesyuarat mereka.

“Tapi kita kena faham juga sentimen mereka itu, kita fikir mereka harus dengar kita tapi mereka kata kita kena dengar mereka,” kata Anwar lagi.

Anwar juga berkata pihaknya sentiasa berlapang dada dan memaafkan pimpinan daripada kumpulan Azmin yang bertindak meninggalkan dewan persidangan semalam.

“Saya ini memang pemaaf lah, tapi ini bukan soal peribadi ini. Saya kena dengar suara dan sentimen dan tadi saya jawab. Saya dengar hasrat mereka jadi kena bagi ruang sedikit,” katanya.

Semalam, Azmin mengetuai kira-kira 100 perwakilan keluar dari kongres parti. Pada sidang media selepas itu, Azmin mendakwa mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pembahas menggunakan pentas perbahasan di kongres untuk menyerangnya.

Azmin berkata, Anwar membuka ruang kepada pembahas berkenaan bertindak demikian selepas membangkitkan mengenai watak Si Kitol.

Menurut Anwar, tindakan memboikot kongres tidak menjejaskan persidangan kerana lebih 80% perwakilan berada di dalam dewan pada sesi penggulungan pagi tadi yang berakhir selepas tengah hari.

“Hadir hari ini lebih 80% perwakilan, bukan pemerhati tapi perwakilan. Yang hadir itu lebih dari 80%, itu ketinggalan 15%. Tak semua tak setuju, kalau ikut yang mampu hadir.

“Ini besar (maknanya) bagi saya,” kata Anwar. – 8 Disember, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen