Anwar janji ambil tindakan tegas terhadap pengkritiknya


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Kongres Nasional PKR kali ke-14 yang berlangsung di Melaka menyaksikan pertelagahan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalannya Mohamed Azmin Ali serta insiden pergaduhan melibatkan sayap Pemuda parti.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2019

ANWAR Ibrahim berjanji akan lebih bertegas terhadap pengkritiknya dalam parti.

“Mesejnya sangat jelas daripada kongres ini yang saya perlu lebih tegas terhadap pengkritik,” kata presiden PKR itu pada ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR ke-14 hari ini.

“Saya akan jadi lebih tegas berbanding sebelum ini,” kata Anwar.

Pertelagahan antara Anwar dan timbalannya Mohamed Azmin Ali menjadi tumpuan pada kongres kali ini yang mana kebanyakan perwakilan menggesa parti mengambil tindakan terhadap Azmin dan penyokongnya.

Selain insiden pergaduhan yang mencemari Kongres Pemuda, Azmin turut mengetuai penyokongnya keluar dewan ketika persidangan berlangsung semalam.

Azmin dan penyokongnya seperti Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju juga tidak hadir pada penutup kongres hari ini, menyebabkan hanya Tian Chua sahaja hadir. 

“Kita tidak boleh abaikan pandangan perwakilan (yang mahu tindakan tegas diambil). Sebagai pemimpin, kita tidak boleh tunduk kepada semua permintaan tetapi kita perlu dengar suara perwakilan.

“Ini merupakan kali pertama perwakilan membuat tuntutan ini dalam PKR.”

Anwar ketika menjelaskan pendiriannya berkata, tiada plot untuk memecat penyokong Azmin, Zakaria Abdul Hamid dan Ismail Dulhadi.

Surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan lembaga disiplin parti menjelaskan mengenai pemecatan kedua-dua mereka.

“Kita tidak boleh terima rasuah kerana kita sudah memeranginya sejak 20 tahun lalu.

“Kita boleh bertelagah, ada perselisihan faham dan keluar tetapi saya tidak akan bertolak ansur dengan rasuah.”

Semalam, Azmin mengetuai kira-kira 100 perwakilan keluar dari kongres parti. Pada sidang media selepas itu, Azmin mendakwa mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pembahas menggunakan pentas perbahasan di kongres untuk menyerangnya.

Azmin berkata, Anwar membuka ruang kepada pembahas berkenaan bertindak demikian selepas membangkitkan mengenai watak Si Kitol. – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen