Perihal seks dan ahli politik


Noel Achariam

Anwar dan Azmin masing-masing terpalit isu salah laku seks. Hubungan kedua-dua pemimpin tertinggi PKR itu juga kelihatan goyah akibat konflik dalaman PKR. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2019.

SATU lagi tuduhan salah laku seksual terhadap ahli politik timbul, sekali lagi melibatkan Anwar Ibrahim, biar betapa jelak sekali pun rakyat Malaysia dengan kisah-kisah seperti ini.

Tuduhan kali ini datang daripada bekas kakitangan Anwar, Muhammad Yusoff Rawther, yang menuduh presiden PKR itu melakukan serangan seksual terhadapnya di kediaman majikannya itu di Bukit Segambut, Kuala Lumpur pada 2 Oktober lalu. Tuduhan itu dibuat melalui satu akuan bersumpah.

Walaupun tuduhan itu didakwa berlaku lebih setahun yang lalu, ia hanya berbangkit minggu ini. Pada 4 Disember lalu, gambar dokumen akuan bersumpah bertarikh 19 November 2019 tersebar meluas di media sosial.

Anwar menafikan tuduhan Yusoff, yang pernah bekerja di pejabatnya dari September 2018 hingga Mei lalu. Pada 5 Disember, Ahli Parlimen Port Dickson itu memberi Yusoff masa 24 jam untuk membuktikan tuduhan yang beliau buat dalam akuan berkanun tersebut, atau sedia berdepan tindakan undang-undang.

Anwar, 72, menafikan tuduhan. Katanya, beliau menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur pada hari didakwa kejadian. Katanya lagi, beliau juga sibuk berkempen untuk pilihan raya kecil di Port Dickson, yang berlangsung pada 13 Oktober.

Yusoff bagaimanapun semalam membuat laporan polis berhubung kejadian yang didakwa berlaku setahun lalu. Beliau menggesa polis menyiasat episod yang diperincikannya dalam akuan berkanun.

Adakah tuduhan salah laku seksual terhadap Anwar ini hanya hangat-hangat tahi ayam dan kemudian masuk ke bakul sampah sama seperti tuduhan skandal seks lain yang tidak terbukti yang melibatkan ahli politik, atau adakah ia akan berlarutan jadi cerita yang panjang?

Muhammed Yusoff Rawther membuat laporan polis di balai polis Sentul terhadap Anwar berhubung salah laku presiden PKR itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2019.

Beberapa tuduhan sebelum ini, lebih banyak yang berakhir sebagai intrig politik tanpa penjelasan dan tanpa penyelesaian berbanding meninggalkan kesan yang sebenar.

Anwar yang paling terjejas, dua kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat, pada 1998 dan 2008. Kedua-duanya beliau nafikan dan menyifatkannya sebagai muslihat politik.

Pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman bagi kes pertama.

Dalam kes kedua, Anwar pada awalnya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi yang tidak dapat bergantung pada bukti DNA. Keputusan itu bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan, dan disahkan pula oleh Mahkamah Persekutuan.

Anwar dihukum penjara lima tahun. Beliau kemudian mendapatkan pengampunan diraja pada 16 Mei 2018, selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum yang lalu dan jadi kerajaan.

Kejatuhan politik

Hanya ada dua kes yang terpahat sebagai episod kejatuhan ahli politik.

Pada 1 Januari 2008, Dr Chua Soi Lek letak jawatan menteri kesihatan, timbalan presiden MCA dan Ahli Parlimen Labis selepas mengaku beliaulah orangnya dalam DVD rakaman video seks yang tersebar. DVD itu memuatkan rakaman satu jam hubungan sulit Chua dengan seorang wanita di sebuah hotel di Johor.

Walaupun kembali memimpin MCA dari 2010 hingga 2013, beliau gagal mendapat pengiktirafan di luar parti selepas episod itu.

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat DP Vijandran juga menamatkan karier politiknya selepas skandal seksnya dengan 11 wanita lain yang terakam dalam format pita VHS terdedah.

Pendedahan itu dibuat oleh Karpal Singh dari DAP, yang menerima pita rakaman tersebut yang diambil dari rumah Vijandran dalam satu kejadian pecah masuk.

Beliau hilang sokongan partinya sendiri MIC dan sejak itu hilang dari gelanggang politik Malaysia.

Antara tuduhan kecurangan seksual yang meletup tetapi kemudian sepi termasuk satu yang mengaitkan Anwar dalam satu rakaman yang didakwa dibuat di Thailand.

Video itu didedahkan pada Mac 2011 oleh bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah dan bendahari Perkasa ketika itu Shuib Lazim. Video itu menunjukkan seorang lelaki yang mereka dakwa Anwar, melakukan hubungan seks dengan seorang wanita. Anwar menafikan tuduhan.

Bekas setiausaha agung PAS Mustafa Ali juga pernah berdepan tuduhan lebih kurang seminggu sebelum penamaan calon pilihan raya umum 2013. Sebuah rakaman tersebar menunjukkan seorang lelaki yang didakwa beliau bersama seorang wanita di sebuah bilik hotel. Rakaman itu disebarkan melalui blog penyokong Umno.

Pada 1 Januari 2008, Dr Chua Soi Lek letak jawatan menteri kesihatan, timbalan presiden MCA dan Ahli Parlimen Labis selepas mengaku beliaulah orangnya dalam DVD rakaman video seks yang tersebar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Disember, 2019.

Mustafa menafikan tuduhan dan rakaman video itu. Selepas itu, beliau tidak lagi bertanding jawatan parti atau pilihan raya.

Bekas pemimpin PAS, sekarang Presiden Amanah Mohamad Sabu juga pernah dikaitkan dengan dakwaan salah laku seksual menjelang pilihan raya umum yang lalu. Gambarnya dengan seorang wanita tersebar di media sosial.

Mohamad enggan terjebak dalam kontroversi sementara ahli Amanah mempertahankannya. Mereka mendakwa tuduhan itu serangan politik dari luar parti.

Di sebelah Barisan Nasional pula, satu kes yang menggemparkan melibatkan Rahim Thamby Chik, ketika itu masih ketua menteri Melaka. Beliau didakwa di mahkamah atas tuduhan rogol bawah umur pada 1994. Tuduhan itu kemudian ditarik balik.

Rahim letak jawatan ketua menteri dan ketua Pemuda Umno, namun pemimpin DAP Lim Guan Eng terus menuduh kerajaan menutup kes. Beliau dihukum penjara atas kesalahan mencetak berita palsu.

Bagaimanapun PKR adalah parti politik yang paling banyak terpalit dakwaan salah laku seksual.

Sebuah rakaman video seks mengaitkan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dengan bekas pemimpin Pemuda PKR muncul pada Jun lalu. Selama beberapa bulan ia sempat menghantui Azmin namun isu itu mula reda selepas tiada lagi khabar berita dari polis atau Pejabat Peguam Negara mengenai siasatannya.

Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan kes liwat dan akan dibebaskan pada Jun 2018.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2017.

Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, menafikan rakaman video itu sebagai fitnah untuk menghancurkan masa depan politiknya.

Ini bukan kali pertama Azmin dilemparkan tuduhan seksual. Sebelum ini pada 2012 pernah tersebar beberapa foto seseorang yang mirip Azmin sedang melakukan aksi seks dengan seorang wanita tidak dikenali. Setahun yang lalu, muncul dakwaan beliau ada hubungan dengan wanita yang sudah berkahwin. Semua tuduhan itu mati begitu saja.

Dakwaan terbaru terhadap Anwar oleh Yusoff muncul ketika ada perbalahan dalam PKR antara presiden dan Azmin, dan ketika parti bersiap-siap untuk mengadakan kongres tahunan.

Setelah Yusoff mengemukakan dakwaannya kepada pihak polis, terserahlah bagaimana nanti hasil siasatannya, sama ada tuduhan terhadap Anwar ini juga mungkin akan mati begitu saja. – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen