Menteri arah ITBM tangguh buang kakitangan


The Malaysian Insight

Maszlee juga dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada Isnin berhubung tindakan menyelamatkan ITBM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2019.

INSTITUT Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) tidak jadi memberhentikan sebahagian kakitangannya ekoran campur tangan Kementerian Pendidikan, menurut sumber dari institut itu.

Sumber berkenaan menyebut Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengarahkan agar penamatan khidmat kakitangan untuk mengurangkan kos itu ditangguhkan.

“Penamatan ditangguhkan (atas) arahan Menteri Pendidikan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

ITBM juga dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada Isnin berhubung tindakan menyelamatkan institut itu.

ITBM juga pada bulan lalu mengesahkan institut itu dalam proses menjalankan pemberhentian pekerja, yang akan berlaku pada bila-bila masa.

Pengurus Besar merangkap Pengarah Urusan ITBM Sakri Abdullah mengakui badan itu diarahkan mengecilkan operasi dan kembali kepada fungsi asal iaitu menterjemah buku.

Menurutnya pengecilan operasi itu melihatkan sehingga 50% kakitangan.

Beberapa kakitangan ITBM pada pertengahan November mendedahkan langkah pemberhentian separuh daripada 116 kakitangan itu diketahui sejak beberapa bulan lalu.

ITBM pada asalnya dikenali dengan nama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang ditubuhkan pada 1993 sebagai dalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Ia berperanan mengendalikan hal ehwal penterjemahan dan kejurubahasaan.

Selepas 18 tahun beroperasi, pada 2011 kerajaan di bawah pentadbiran Najib Razak menambah mandat baharu untuk menerbitkan karya asli penulis Malaysia dan menukar namanya daripada ITNM kepada ITBM.

Di bawah skop operasi baharu itu, fungsi ITBM kekal 60% untuk penterjemahan dan kejurubahasaan dan 40% untuk penerbitan karya asli.

The Malaysian Insight difahamkan dalam tempoh hampir lapan tahun menjalankan operasi dengan mandat baharu,

ITBM mula mengalami kerugian dan menanggung hutang sehingga RM9.5 juta. Ini tidak termasuk kos operasi penggajian bulanan sehingga RM500,000. – 7 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen