IPIC, 1MDB capai penyelesaian timbang tara


SYARIKAT pelaburan Malaysia dibebani hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjaya menyelesaikan prosiding timbang taranya dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi, perjanjian yang disambut baik Putrajaya.

Kedua-dua syarikat mengeluarkan kenyataan berasingan berhubung penyelesaian prosiding timbang tara di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London itu.

“Menurut persetujuan itu, 1MDB antara lain akan membuat bayaran tertentu kepada IPIC dan bertanggungjawab bagi semua faedah masa depan dan pembayaran wang pokok untuk dua bon yang diterbitkan syarikat kumpulan 1MDB pada 2022,” kata 1MDB dalam kenyataannya.

Kerajaan Malaysia juga mengeluarkan satu kenyataan bagi mengumumkan penyelesaian.

Menurut kenyataan IPIC, perjanjian itu dibuat antara IPIC, Aabar Investments, Kementerian Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan 1MDB. Ia menambah perjanjian itu tertakluk kepada keputusan persetujuan Tribunal Timbang Tara pada 31 Mei.

“Di bawah syarat penyelesaian, IPIC akan menerima AS$602.7 pada 31 Julai 2017 dan AS$602.7 pada 31 Disember 2017.

“Secara berasingan, 1MDB dan Kementerian Kewangan berjanji kepada IPIC memikul tanggungjawab bagi semua faedah masa depan dan pembayaran wang pokok di bawah dua bon yang dikeluarkan syarikat kumpulan 1MDB yang dijamin 1MDB dan IPIC,” katanya.

Bon pertama adalah AS$1.75 bilion pada kadar tetap sebanyak 5.75% yang dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Limited, kedua adalah AS$ 1.75 bilion pada kadar tetap sebanyak 5.99% yang dikeluarkan 1MDB Energy Limited menurut kenyataan itu. Kedua-dua bon matang pada 2022.

“Sebagai penyelesaian, 1MDB antara lain, akan membuat bayaran tertentu kepada IPIC dan akan bertanggungjawab bagi semua faedah masa depan dan pembayaran wang pokok untuk dua bon yang diterbitkan syarikat kumpulan 1MDB pada 2022,” kata kenyataan 1MDB pada perenggan keempat.

“Kewajipan ini akan dipenuhi 1MDB, terutamanya melalui pengewangan unit dana pelaburan milik 1MDB. 1MDB dengan sukacitanya mengesahkan pengewangan tranche pertama kira-kira AS$50 juta sudah diterima, secara tunai.

“Penyelesaian timbang tara dan pengewangan unit dana pelaburan mewakili satu resolusi cabaran besar, dan merupakan sebahagian besar daripada pelan rasionalisasi 1MDB, yang kini di peringkat akhir,” kata 1MDB.

Pejabat Perdana Menteri turut mengeluarkan kenyataan akan penyelesaian itu. “Kerajaan gembira IPIC dan 1MDB menyelesaikan perbezaan mereka secara baik.

“Kita juga maklum pengewangan semua unit dana pelaburan milik 1MDB.

“Peristiwa penting ini mewakili kemajuan positif berterusan yang dibuat 1MDB, menghampiri penamatan program rasionalisasinya,” kata Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Najib Razak, Tengku Sarifuddin hari ini. – 24 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen