Menteri pelancongan tolak laporan berhubung mesyuarat pasca Kabinet 


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi berkata laporan The Malaysian Insight mengenainya yang tidak mengadakan mesyuarat pasca Kabinet dengan pegawai kanan kementeriannya adalah tidak benar dan berunsur fitnah serta dusta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2019.

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi berkata, tiada keperluan untuk mengadakan mesyuarat pasca Kabinet setiap minggu, dan beliau telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan di kementeriannya, sekaligus menafikan laporan The Malaysian Insight hari ini.

Mohammadin berkata, mesyuarat pasca Kabinet diadakan apabila terdapat keperluan untuk menyampaikan maklumat kepada kakitangan kementerian untuk pelaksanaan.

“Bagi individu yang tidak memahami keperluan mesyuarat pasca Kabinet, mereka ini sentiasa berfikir bahawa mesyuarat tersebut perlu diadakan selepas mesyuarat Kabinet, untuk menzahirkan apa yang telah dibincang di dalam mesyuarat Kabinet.

“Sedangkan ia sebenarnya tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, kecuali terdapat keperluan untuk pemakluman kepada pegawai kerajaan untuk dilaksanakan.

“Sekiranya ia adalah pemakluman di peringkat kerahsiaan tertinggi di kementerian, pemakluman hanya diberikan kepada KSU dan TKSU,” katanya dalam satu kenyataan.

“Laporan berkenaan tidak benar dan berunsur fitnah serta dusta.

“Laporan berita tersebut jelas menuduh saya tidak pernah mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet sedangkan saya pernah beberapa kali berbuat demikian.

Benar Mohammadin pernah mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet, namun ia diadakan tahun lalu selepas beliau dilantik sebagai menteri.

Laporan The Malaysian Insight tidak menyatakan beliau tidak pernah mempengerusikan sebarang mesyuarat pasca Kabinet, namun ia tidak diadakan pada 2019 sehinggalah Jumaat lalu pada 29 November.

Menurut sumber kementerian, ia disebabkan hubungan kerja yang renggang antara menteri dan pegawai kanan kementerian.

Mohammadin dikatakan tidak boleh bekerja dengan bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian Isham Ishak, yang menyertai kementerian itu sejak Januari lalu dan ditukarkan ke Kementerian Pengangkutan bulan lepas.

Mohammadin dalam kenyataannya hari ini berkata, beliau sentiasa memaklumkan setiap pelaporan berkaitan kepada ketua setiausaha kementerian sama ada yang lama mahupun yang baharu serta memaklumkan secara individu kepada setiap pengurusan tertinggi agensi di bawah kementeriannya.– 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen