Muafakat Nasional dan BN perlu wujud bersama, kata MCA


Noel Achariam

Presiden MCA, Wee Ka Siong turut hadir di Perhimpunan Agung Umno 2019, di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 Disember, 2019.

MUAFAKAT Nasional dan Barisan Nasional (BN) perlu wujud bersama untuk mengukuhkan semua pihak, kata Wee Ka Siong.

Presiden MCA berkata BN akan diteruskan kerana tiada rancangan untuk membubarkannya.

“BN masih akan kekal dan kita tidak harus membuat spekulasi ia akan dibubarkan.

“Buat masa sekarang, tiada pemimpin BN berkata ia akan dibubarkan. Jika kita menyokong Muafakat Nasional, mengapa kita tidak boleh wujud bersama,” katanya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu perwakilan pada PAU ke-73 hari ini, Muafakat Nasional antara Umno dan PAS boleh menjadi “tawaran baharu” yang merangkumi semua kaum untuk masa depan Malaysia.

Beliau berkata pakatan itu diterima dengan baik oleh dua sekutu Umno dalam BN, MCA dan MIC.

Muafakat Nasional antara Umno dan PAS ditandatangani pada 14 September sebagai platform untuk kedua-dua parti pembangkang itu berkerjasama susulan kehilangan kuasa persekutuan oleh BN pada tahun lepas.

Pada mulanya ia dibina sebagai asas perpaduan ummah tetapi pemimpin Umno kini memainkannya sebagai kesepakatan inklusif yang meliputi kaum lain juga.

MCA dan MIC masing-masing mewakili kepentingan etnik Cina dan India dalam BN.

Wee berkata walaupun tiada pakatan baharu, semangat keakraban mereka masih ada.

“Sesetengah orang secara stereotaip menganggapnya (Muafakat Nasional) sebagai gabungan, tetapi setakat ini tidak.

“Walau apa pun, kita perlu mengambil pendekatan realistik. Kita bukan kerajaan, dan kita tidak boleh cakap untuk membentuk gabungan.

“Selagi kita inklusif dan terus menghormati kaum dan agama masing-masing dan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.”

Presiden MIC S Vigneswaran mengatakan BN dan Muafakat Nasional harus melihat dengan serius untuk bekerja sebagai satu pasukan. – 6 Disember, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen