MUAFAKAT Nasional adalah tawaran baharu untuk masa depan Malaysia yang diterjemahkan hasil penyatuan ummah Umno dan PAS yang turut diterima baik oleh MCA dan MIC, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata, kerjasama tersebut merupakan lambang kepada politik berimbang yang akan dibawa sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Muafakat Nasional adalah tawaran baharu atau new deal kepada rakyat dan bakal mencetuskan sejuta potensi yang belum pernah kita terfikir sebelum ini.
“Muafakat Nasional adalah cerminan politik berimbang yang melindungi semua kaum, walaupun orang Melayu sebagai terasnya tetapi rakan-rakan kita berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum lain turut diraikan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno 2019 (PAU2019) di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 14 September lalu, Umno dan PAS menandatangani kerjasama politik atas nama Piagam Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.
Menurut Zahid, gagasan tersebut mula diterima baik oleh rakyat susulan daripada kejayaan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.
“Kemenangan tersebut membuktikan Muafakat Nasional semakin diterima oleh rakyat sebagai satu naungan dan naratif politik baharu.
“Ia memberi banyak pengajaran kepada kita serta menjadi kayu pengukur kepada sokongan masyarakat Cina dan bukan Melayu, kepada BN dan Muafakat Nasional,” katanya.

Malah kata Zahid, kejayaan tersebut juga menepis tohmahan bahawa kerjasama dua parti Melayu Islam di negara ini adalah rasis.
Dalam PRK Tanjung Piai, BN meletakkan calon daripada MCA walaupun terdapat desakan daripada pelbagai pihak terutamanya orang Melayu yang mahukan Umno bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Tambah Zahid, gagasan Muafakat Nasional tidak tergesa-gesa untuk membentuk kerajaan walaupun terdapat tawaran untuk berbuat demikian.
“Kita tidak impikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang terbuka luas. Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan.
“Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. – 6 Disember, 2019.
Komen