Kongres tahunan sayap Wanita, Pemuda PKR bersidang hari ini


Kira-kira 1,588 perwakilan akan menyertai persidangan sayap Wanita dan Pemuda, yang masing-masing bermula 9 pagi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2019.

SELEPAS majlis perasmian serentak penuh bersemangat malam tadi, Kongres Tahunan Wanita dan Pemuda bersidang pagi ini.

Kira-kira 1,588 perwakilan akan menyertai persidangan sayap Wanita dan Pemuda, yang masing-masing akan bermula 9 pagi.

Kongres tahunan Wanita yang diadakan di Dewan A, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu akan bermula dengan ucapan dasar Ketuanya Haniza Mohamed Talha.

Kongres bertemakan “Kepimpinan Wanita: Kepimpinan Untuk Semua” sayap itu akan menumpukan kepimpinan wanita yang lebih holistik dan wanita sebagai pemacu dalam ekonomi negara.

Kongres Pemuda dengan tema “‘Reformasi Dua Dekad: Mengisi Kemenangan Rakyat” yang berlangsung di Dewan Klasik, MITC turut dimulakan dengan ucapan dasar Ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Selesai ucapan dasar oleh ketua sayap, kedua-dua persidangan sayap itu akan diteruskan dengan sesi perbahasan usul oleh perwakilan masing-masing.

Pengerusi Lembaga Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga timbalan perdana menteri, dijadual menyempurnakan serentak majlis penutupan kongres tahunan sayap parti pada 3 petang.

Kongres Nasional PKR kali ke-14 bertemakan “Reformasi Dua Dekad: Mengisi Kemenangan Rakyat” bermula semalam akan berlangsung sehingga Ahad.

Esok, presiden parti Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan dasar, pertama kali sebagai presiden setelah dipilih tanpa bertanding jawatan itu pada pemilihan tahun lepas. – Bernama, 6 Disember, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen