Apa persetujuan Azmin dan Anwar?


Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Pertemuan Mohamed Azmin Ali bersama Anwar Ibrahim yang berlangsung pada Rabu lalu. – Gambar EPA, 6 Disember, 2019.

SELEPAS “perang” selama berminggu-minggu, tidak mudah untuk Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali duduk bersama dalam sebuah bilik.

Namun parti memerlukan satu gencatan untuk membolehkan kongres nasional yang dijadual berlangsung hujung minggu ini – yang pertama bagi Anwar sebagai presiden – berjalan dengan lancar.

Walaupun desas-desus akan ada “kongres kedua” di Kuala Lumpur, isu itu mula reda selepas Azmin diberi kebenaran merasmikan kongres tahunan sayap Pemuda, Angkatan Muda Keadilan (AMK) malam tadi.

Menurut seorang wakil rakyat yang hadir dalam mesyuarat biro politik PKR di bangunan Parlimen kelmarin, Azmin membuat langkah pertama dengan menghantar dua wakil.

“Azmin tahu beliau tidak cukup sokongan untuk menentang presiden. Beliau hantar Tian Chua dan Sivarasa (Rasiah) untuk berjumpa Anwar,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Sehingga semalam (Khamis) kita ada lebih 80% perwakilan yang akan datang ke kongres di Melaka. Kongres lain yang serentak tidak akan dapat sokongan yang diperlukan untuk menjejaskan Anwar.”

Seorang lagi sumber mengesahkan Tian Chua dan Sivarasa dikirim untuk berjumpa dengan presiden sebelum Azmin menyusul.

“Perkara pertama yang mereka buat ialah meminta maaf kerana tidak menghantar kenyataan Azmin mengasingkan diri daripada memorandum mendesak Anwar minta maaf kerana keputusan memecat Zakaria Abdul Hamid,” kata sumber pimpinan PKR.

Setakat itu, kebanyakan mereka yang menandatangani memorandum itu sudah menarik desakan meminta Amwar memohon maaf, katanya.

Zakaria dan seorang lagi ahli PKR dari Pahang, Ismail Dulhadi dipecat atas dakwaan terlibat dengan rasuah politik.

Selepas menarik balik desakan minta maaf itu, dua pemimpin PKR itu bertanya kepada Anwar apa lagi yang perlu supaya Azmin boleh merasmikan kongres Pemuda.

Menurut wakil rakyat itu, Anwar mahu Azmin hadir ke kongres parti di Melaka. Anwar juga mahu Azmin tidak menggunakan kongres itu sebagai pentas untuk menyerangnya.

Sebagai ganti, Azmin akan diberi kebenaran merasmikan kongres Pemuda dan menyampaikan ucapan penggulungan pada Ahad.

“Mereka setuju dan meminta apakah kumpulan Azmin boleh menentukan senarai perwakilan yang akan berucap dalam kongres.

“Anwar kata tak boleh kerana PKR sebuah parti demokratik dan terserah kepada perwakilan untuk berucap.”

Dengan persetujuan itu, mereka keluar sebelum Azmin menyusul datang, kata sumber.

Menurut wakil rakyat itu walaupun pemecatan Zakaria dan Ismail mencetuskan memorandum terhadap Anwar, isu itu langsung tidak dibangkitkan.

Malam tadi, semasa berucap merasmikan kongres sayap Pemuda dan Wanita, Amin mengotakan janji dengan tidak membangkitkan episod dalaman parti yang berlaku sejak kebelakangan ini. – 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen