Azmin rasmi kongres sayap PKR serentak esok


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan merasmikan kongres Pemuda dan Wanita esok di Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2019.

MESYUARAT khas Biro Politik PKR memutuskan kongres tahunan kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita parti akan dirasmikan serentak oleh Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali di Melaka, esok.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata keputusan dibuat selepas biro politik mendengar pandangan semua pemimpin.

Keputusan mesyuarat petang tadi, yang turut dihadiri oleh Azmin, sekali gus membatalkan keputusan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengadakan perasmian kongres secara berasingan pada Jumaat.

“Kongres AMK dan Wanita kedua-duanya akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Azmin pada Khamis 5 Disember (esok) manakala kedua-dua kongres akan ditutup oleh Yaang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail) pada Jumaat, sebelah petang,” kata Fahmi kepada wartawan selepas selesai mesyuarat lewat petang tadi.

Mesyuarat yang berlangsung di Bangunan Parlimen itu adalah yang pertama dihadiri oleh Azmin dan beberapa penyokongnya sejak pemilihan parti setahun yang lalu.

Antara yang hadir dan memasuki mesyuarat bersama Azmin termasuk Naib Presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, serta Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat Abdul Rashid Hasnon, Amirudin Shari, R Sivarasa dan Elizabeth Wong.

“Kita telah mengambil pandangan daripada semua pimpinan. Hasil daripada perbincangan kita telah membuat keputusan,” tambah Fahmi.

Pemuda PKR sebelum ini memutuskan menjemput Dr Wan Azizah untuk merasmikan kongresnya yang dijadual dibuka pada Jumaat. Sayap itu membatalkan jemputan kepada Azmin, antara lain, dengan alasan beliau tidak berdisiplin dan merosakkan parti.

Ditanya mengenai “kongres lain” yang digembar-gemburkan akan berlangsung di Kuala Lumpur juga pada hujung minggu ini, Fahmi berkata: “Hanya ada satu kongres (di Melaka).”

Katanya, beberapa pemimpin termasuk Azmin juga menegaskan hanya ada satu kongres PKR minggu ini.

“Semua pimpinan Insya-Allah akan hadir kecuali yang ada urusan rasmi di luar,” kata Fahmi.

Fahmi juga menekankan kongres PKR tahun ini “akan menampakkan kekuatan (part) yang utuh.”

“Kita akan dapat dengar pandangan pimpinan dan melihat hala tuju parti ke hadapan,” tambahnya.

Awal hari ini, Naib Ketua AMK Nazree Yunus mengesahkan akan ada satu pertemuan berasingan pemimpin dan ahli PKR di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad ini.

Perhimpunan itu sejak beberapa hari lalu dihebohkan sebagai acara yang dianjurkan oleh kelompok yang dekat dengan Azmin, dan sengaja diatur untuk berjalan serentak dengan kongres parti di Melaka. – 4 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen