Tiada kongres PKR selain di Melaka, tegas Azmin


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menafikan ada kongres lain di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Disember, 2019.

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menafikan wujudnya “kongres kedua” parti itu selain kongres rasmi yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, bermula malam ini.

“Tidak ada perjumpaan selain kongres di Melaka,” kata Azmin dalam sidang media, selepas merasmikan serentak kongres sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan.

Kongres PKR bermula dengan perasmian sayap malam ini dengan kongres parti peringkat nasional berlangsung pada Sabtu dan Ahad.

Sejak seminggu lalu, tular poster adanya sebuah perhimpunan lain di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada hujung minggu yang sama.

Poster itu memaparkan slogan “Kembali ke Landasan Demokrasi” menggunakan tema warna tema logo PKR – biru, merah, dan putih – dan turut tertera perkataan “Rapat Keadilan Perjuangan”.

Poster itu tular ketika krisis dalaman PKR memuncak selepas AMK memecah tradisi membatalkan jemputan kepada timbalan presiden untuk merasmikan kongresnya.

Azmin dalam sidang medianya bagaimanapun berkata tiada sebarang krisis dalaman berlaku sebaliknya ia hanyalah amalan demokrasi biasa apabila pimpinan parti berbeza pendapat.

“Setiap tahun selagi saya timbalan presiden, tradisinya timbalan presiden akan rasmikan AMK, presiden akan rasmikan kongres utama. 

“Tidak ada yang mengejutkan… saya rasa amat gembira dapat terus bersama AMK dan Wanita malam ini,” kata Azmin lagi.

Sejak minggu lepas, poster Kongres PKR di KL tular di media sosial. – Gambar Facebook, 5 Disember, 2019.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, majlis perasmian malam ini membuktikan PKR kembali bersatu.

“Walaupun spekulasi dan tuduhan sejak  beberapa minggu lalu, kekuatan parti dipimpin Presiden Anwar Ibrahim dan Majlis Pimpinan Pusat AMK dan Wanita, kita berjaya merungkai masalah dan bersatu teguh demi menentuskan perjuangan kita.

“Dalam sebuah parti yang dinamik dan  pertahankan demokrasi sudah tentu ada pandangan berbeza pendekatan berbeza. 

“Pandangan berbeza ini menjadi aset kita bincang dan capai muafakat dan konsensus bagi menentukan hala tuju parti,” katanya.

Azmin pertahan Anwar

Sementara itu, Azmin mempertahankan Anwar yang sekali lagi berdepan tuduhan terlibat dengan jenayah serangan seksual Katanya PKR menolak amalan politik kotor dan fitnah.

 Azmin turut menyambut baik tindakan Anwar membuat laporan polis dan tindakan undang-undang berhubung fitnah itu.

Semalam pegawai Anwar membuat laporan polis terhadap MYR susulan akuan berkanunnya yang tersebar di media sosial. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen