Menunggu Anwar, Azmin berdamai di kongres, kata pemimpin PKR


Lee Chi Leong Chan Kok Leong

Tiada siapa yang tahu dengan jelas bila pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Azmin Ali mula berlaku, dan kenapa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

PERTIKAIAN antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali dijangka sampai ke kemuncaknya dalam empat hari ini apabila parti mengadakan kongres tahunannya di Melaka.

Namun tiada siapa yang tahu dengan jelas bila Anwar dan Azmin mula bergeser, dan kenapa.

Sehingga pilihan raya umum lalu, Azmin menjadi timbalan yang setia kepada Anwar yang ketika itu meringkuk di dalam penjara di Sungai Buloh. Azmin berkhidmat dengan Anwar sejak Anwar menjadi timbalan perdana menteri pada 1990-an.

Selain bekas presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka Nurul Izzah Anwar, Azmin memainkan peranan penting dalam rundingan dengan musuh lama parti Dr Mahathir Mohamad dan parti komponen lain sehingga lahir Pakatan Harapan (PH).

Antara tugasnya sebagai menteri besar Selangor, Azmin antara yang kerap membawa nota dari Penjara Sungai Buloh untuk menyampaikan hasrat Anwar menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Apa sudah jadi?

Kata sesetengah orang, perbalahan antara mereka bermula selepas “Langkah Kajang”, apabila Azmin memintas isteri Anwar untuk jadi menteri besar.

Hubungan Anwar-Azmin bertambah parah apabila Anwar menyokong Rafizi Ramli dalam pemilihan jawatan timbalan presiden parti tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

Kata sesetengah yang lain, ia bermula apabila Azmin sengaja diketepikan dalam senarai ahli Parlimen PKR yang diserah kepada Dr Mahathir untuk dipertimbangkan jadi anggota Kabinet pada 2018.

Namun ada yang percaya ia bertambah parah apabila Anwar menyokong Rafizi Ramli dalam pemilihan jawatan timbalan presiden parti tahun lalu. Walaupun Rafizi kalah pemilihan itu, bekas ahli Parlimen Pandan itu dilantik sebagai naib presiden parti walaupun dibantah oleh pendukung Azmin.

Sejak itu, Azmin tidak hadir sekali pun 20 mesyuarat dengan Anwar sampailah ke petang semalam apabila beliau dipanggil hadir ke mesyuarat biro politik parti di pejabat Dr Wan Azizah di Parlimen.

Ada juga yang berkata Azmin cuba menggagalkan pelan Anwar menggantikan Dr Mahathir dengan mengadakan pertemuan sulit dengan ahli Parlimen dari Barisan Nasional baru-baru ini. Pertemuan itu dikatakan bagi meminta sokongan daripada mereka untuk memastikan Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya akan datang.

Antara semua itu, ada juga tuduhan rakaman video seks yang mengaitkan Azmin yang kononnya didalangi oleh penyokong Anwar.

Dengan latar belakang ini, sukar untuk dipastikan apa yang akan jadi tumpuan di kongres PKR hujung minggu ini – pertelingkahan Anwar dan Azmin, atau masalah yang membelenggu kerajaan PH?

Kapal satu, nakhoda dua

Apa pertubuhan sekali pun, baik badan masyarakat, perniagaan atau parti politik, semuanya mesti ada struktur yang jelas dan disiplin berorganisasi, kata pemimpin PKR Johari Abdul.

“Struktur ini mustahak kerana ia menunjukkan siapa ketua, siapa timbalan. Apabila ada pertikaian antara kedua-duanya, hanya ada dua pilihan – sama ada letak jawatan atau sokong.

“Kita tidak boleh serang ketua dan harap akan terus kerja di situ,” kata ahli Parlimen Sungai Petani itu kepada The Malaysian Insight.

Pemimpin PKR Johari Abdul berkata Azmin Ali tidak boleh terus menyerang Anwar Ibrahim, ingkar arahan dan biar penyokongnya anjur mesyuarat mengganggu kongres parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

Beliau ditanya pandangannya mengenai perbalahan antara Anwar dan Azmin.

Menurut Johari, Azmin tidak boleh terus menyerang Anwar, ingkar arahan dan membiarkan penyokongnya menganjurkan mesyuarat untuk mengganggu kongres parti.

Sejak seminggu lalu, kumpulan yang dikaitkan dengan Azmin dikatakan sedang menganjurkan satu perhimpunan serentak di Kuala Lumpur sementara PKR bersidang dalam kongres di Melaka.

Setakat ini Azmin belum mengulas apa-apa tentang “kongres kedua” itu.

“Ini kerja segelintir yang tidak sokong Anwar dan hendak tolong Azmin. Ini kumpulan kecil. Akar umbi tidak macam ini langsung,” kata Johari.

Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaafar, yang juga sekutu Azmin, tidak gemar dengan apa yang berlaku dalam PKR sekarang.

“Keadaannya nampak tidak elok. Tak ada guna kita berselindung lagi.

“Tetapi pada akhirnya, terpulang pada pemimpin parti terutamanya ahli parlimen untuk memastikan politik stabil,” katanya yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaafar berkata beliau tidak gemar dengan apa yang berlaku dalam PKR sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

Kamaruddin bagaimanapun tiada jawapan bagaimana Anwar dan Azmin boleh berdamai.

Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berkata kongres mungkin ruang terakhir yang ada.

Katanya, mandat memimpin parti telah ahli berikan kepada Anwar dan Azmin, dan mereka mahu mandat itu dilaksanakan bersama.

“Tetapi itu belum berlaku lagi. Saya fikir kongres ini tempat terbaik untuk mereka melakukannya. Kita mahu gunakannya sebagai platform untuk mengukuhkan parti,” katanya yang menyokong Azmin.

“Kita (PKR) sudah mengatasi banyak cabaran semasa Anwar di dalam penjara selama hampir dua pertiga daripada 20 tahun yang lalu. Kita juga mengatasi isu apabila orang kata PKR parti yang paling lemah dalam PH.

“Kita satu-satunya parti pelbagai kaum yang ada sokongan rakyat. Kita perlu cari jalan untuk mengatasi apa yang berlaku sekarang,” kata wakil rakyat Seberang Jaya itu.

Siapa lebih kuat?

Kekuatan dalam parti adalah soalan yang subjektif, kata Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

“Walaupun Azmin kalahkan Rafizi tahun lalu, perbezaannya hanya 5% undi. Jadi dia tidak boleh fikir semua orang sokong dia.

“Dalam politik, mustahak untuk dapatkan sokongan kawan dan lawan kalau hendak ke hadapan,” kata Syed Ibrahim.

Johari juga tidak percaya Azmin kuat kerana sebahagian penyokong sudah beralih kepada Anwar.

“Mungkin mereka tahu Anwar akan jadi perdana menteri suatu hari nanti atau mereka rasa Anwar masih presiden walaupun ada perbezaan pendapat,” kata bekas pengarah Biro Tatanegara itu.

Syed Ibrahim menegaskan Anwar masih menguasai parti.

“Anwar boleh terima perbezaan pendapat dalam parti. Jauh dalam hatinya dia rasa mereka balik ke pangkuan parti, hadir mesyuarat dan sebagainya. Satu-satunya yang dia tidak boleh tolak ansur ialah rasuah.

“Anwar ada sokongan majoriti. Cuma dia tidak guna kuasa penuh terhadap penentangnya. Saya rasa dia ini orang paling penyabar yang saya pernah jumpa,” kata Syed Ibrahim.

Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon berharap Anwar dan Azmin boleh menyelesaikan perselisihan mereka di kongres hujung minggu ini.

“Saya harap mereka akan bersatu. Kita salah satu komponen dalam kerajaan. Ada banyak kerja yang hendak dibuat.

“Kita tidak patut bergaduh macam ini, atau kita akan hilang sokongan,” katanya, yang juga timbalan speaker di Dewan Rakyat.

Setakat ini tidak petunjuk Anwar dan Azmin akan dapat menyelesaikan masalah menjelang kongres.

Adakah mereka akan berdamai, seperti dua pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman dan Ismail Mohamed Said yang bercium pipi?

Atau adakah mereka meneruskan slogan PKR “lawan tetap lawan”?

Mesyuarat khas biro politik PKR malam tadi memutuskan Azmin akan merasmikan serentak kongres sayap Pemuda dan Wanita sebagai timbalan presiden parti.

Keputusan itu mengakhiri kontroversi dan perbalahan berhubung keputusan awal tidak membenarkan Azmin merasmikan kongres sayap Angkatan Muda Keadilan.

Anwar dijadual menyampaikan ucapan dasar presiden pada Sabtu, membuka kongres nasional parti. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen