Skuad Badar teruskan operasi elak anak Melayu terlibat maksiat


Zaim Ibrahim

Operasi Skuad Badar kini tertumpu kepada beberapa inap desa di sekitar Sungai Petani.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2019.

WALAUPUN dikenakan tindakan mahkamah, diugut dan menerima kecaman masyarakat, kumpulan sukarelawan Skuad Badar masih aktif menjalankan operasi cegah maksiat.

Operasi mencari pasangan berkhalwat yang menggemparkan negara itu diteruskan kerana tidak sanggup melihat kaum Melayu terus melakukan maksiat, kata pengerusinya Azhar Mohamad.

Beliau menganggap halangan demi halangan yang dikenakan itu sebagai satu dugaan dan tidak pernah berhasrat untuk menamatkan operasi Skuad Badar.

“Pendirian saya masa ketika awal ditahan reman, ketika diambil keterangan, saya tak pernah keluar kenyataan akan berhenti. Usaha saya ini akan tetap diteruskan demi selamatkan anak bangsa.

“Saya tidak membantah tindakan polis menahan saya, itu hanya ujian dalam perjuangan,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight di Markas Skuad Badar, Sungai Petani, Kedah.

Awal tahun ini, Azhar, 46, bersama beberapa orang ahlinya ditahan reman selama dua hari mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Azhar dan enam yang lain didenda RM1,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengikut undang-undang tersebut.

Ketujuh-tujuh individu terbabit mengaku bersalah pada 24 April lalu selepas empat kali sebutan kes.

Namun menurut Azhar, beliau akan tetap meneruskan aktiviti pencegahan walaupun sedar pelbagai risiko perlu dihadapinya.

“Ada orang ekori saya dan ambil gambar rumah. Ada pemilik-pemilik hotel memarahi saya tetapi saya jelaskan tidak berniat mengganggu urusan perniagaan.

“Tetapi saya tidak boleh membiarkan pasangan Islam belum berkahwin bermalam di bilik-bilik hotel. Saya yang ambil (risiko) dan perlu hadaplah (semua dugaan),” tambah beliau.

Azhar berkata, sukar baginya untuk memandang anak-anak Melayu yang terlibat dengan maksiat dengan sebelah mata.

Selepas menerima amaran daripada polis, beliau kini menggunakan kaedah lain supaya aktiviti pencegahan beliau tidak menyalahi undang-undang – dengan menumpukan operasi di inap desa.

“Jika dahulu kami fokus di hotel-hotel bajet, kini kami tumpu lebih kepada beberapa inap desa di sekitar Sungai Petani.

“Di sini, ada beberapa buah rumah teres di kawasan perumahan dijadikan sebagai inap desa. Apabila kami lalu, kami nampak banyak motosikal parkir di luarnya.

“Jadi, kami panggil pekerja di kaunter dan mengarahkan dia sendiri mengeluarkan remaja terbabit keluar daripada bilik mereka,” jelas beliau.

Selepas menerima amaran daripada polis, Skuad Badar kini menggunakan kaedah lain supaya aktiviti pencegahan maksiat yang dijalankan mereka tidak menyalahi undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2019.

Kemudian, mereka akan memanggil ibu bapa kepada pasangan berusia bawah 18 tahun yang berkhalwat untuk mengambil remaja tersebut.

Bagi pasangan berusia lebih 18 tahun pula, beliau hanya akan meminta mereka pulang ke rumah, dan akan tetap memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa terlibat.

“Ada pihak inap desa yang enggan memberi kerjasama, jadi saya beri amaran akan menghubungi pihak berkuasa jika remaja-remaja itu tidak keluar.

“Selepas itu, pihak mereka akan akur dan menyuruh remaja-remaja yang belum berkahwin keluar daripada bilik mereka,” tambahnya yang turut memberitahu,  

Kata beliau, harga sewaan inap desa yang murah iaitu di bawah RM100 satu malam menyebabkan ia menjadi pilihan para remaja.

Selain di kawasan inap desa, Skuad Badar juga melakukan aktiviti pencegahan di Taman Jubli, Sungai Petani yang didakwanya terkenal dengan sarang pelacuran.

Azhar juga berulang kali menjelaskan bahawa niatnya membanteras aktviti maksiat bukan untuk mengganggu tugas Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) tetapi sekadar membantu jabatan itu.

Katanya, beliau juga berulang kali menyatakan kesediaan membantu agensi kerajaan itu tetapi hingga sekarang, tiada respon.

Beliau sudahpun memohon agar Skuad Badar dapat ikut serta dalam operasi pencegahan pohak berkuasa agama itu di bilik hotel pada ambang Tahun Baru.

“Saya akan lihat sama ada mereka sudi atau tidak, kerana pihak polis pun memberitahu, saya boleh meneruskan operasi jika mendapat kerjasama daripada pihak berautoriti,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah mengesahkan pihaknya telah memberi kata dua kepada Azhaar supaya tidak meneruskan operasi pencegahan maksiat.

Namun, jika pencegahan dilakukan di kawasan terbuka, ia tidak salah daripada segi undang-undang.

“Saya sudah jumpa dan nasihat kepada dia supaya tidak buat seperti dulu. Saya beritahu jika mahu beri nasihat atau tazkirah di tempat awam, itu ok.

“Kalau dia buat seperti dahulu, masuk ke hotel, saya terpaksa tangkap. Tetapi jika di tempat terbuka, saya kata… teruskan,” kata beliau kepada The Malaysian Insight. – 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen