Calon parti pemerintah Uruguay iktiraf kemenangan pembangkang


Calon pembangkang Luis Lacalle Pou dari Parti Nasional menang dalam pilihan raya presiden yang berlangsung pada Ahad. – Gambar AFP, 29 November, 2019.

CALON presiden Uruguay, Daniel Martinez, dari parti pemerintah Broad Front, mengaku kalah pada Khamis dan mengiktiraf kemenangan calon pembangkang Luis Lacalle Pou dari Parti Nasional dalam pilihan raya presiden yang berlangsung pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua.

Semasa penjumlahan undi memasuki fasa terakhir, Martinez berkata melalui Twitter bahawa “undi seterusnya tidak mampu mengubah trend. Oleh itu, kita mengalu-alukan presiden yang dipilih @LuisLacallePou, yang akan saya temui esok.”

Martinez turut menzahirkan “ucapan terima kasih setulus hati kepada mereka yang telah meletakkan kepercayaan kepada kami melalui undi mereka”.

Keputusan awal yang dilaporkan pada lewat Ahad oleh Mahkamah Pilihan Raya Uruguay menunjukkan bahawa Lacalle Pou mendahului dengan 48.7 peratus undi berbanding 47.5 peratus yang diraih Martinez.

Memandangkan margin yang tipis, mahkamah pilihan raya mengumumkan bahawa ia akan mengira undi dengan teliti minggu ini dan keputusan rasmi dijangka dikeluarkan pada Jumaat.

Lacalle Pou turut menulis di Twitter pada Khamis untuk menzahirkan penghargaan beliau kepada semua lelaki dan wanita yang telah mempertahankan undi serta demokrasi di setiap meja penjumlahan undi. 

“Doa saya bersama anda”, katanya.

Parti Nasional akan mengadakan majlis keraian di Montevideo pada Jumaat sempena kejayaan itu, yang pertama buat parti tersebut sejak 1989. – Bernama, 29 November, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen