Presiden Uruguay disahkan ada tumor malignan


Presiden itu telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada Khamis malam di Montevideo untuk menjalani satu biopsi pada Jumaat. – Gambar AFP, 24 Ogos, 2019.

PEJABAT Presiden Uruguay Tabare Vazquez mengesahkan pada Jumaat bahawa terdapat tumor malignan di paru-paru kanan beliau, lapor agensi berita China Xinhua.

“Hari ini (Jumaat) intervensi diagnostik yang dijadualkan telah dibuat dan ia mengesahkan kehadiran tumor malignan,” menurut pejabat presiden dalam kenyataan yang ditandatangani doktor presiden iaitu Mario Zelarayan.

Vazquez, pakar onkologi berusia 79 tahun yang berada dalam penggal kedua sebagai presiden, mengumumkan pada Selasa bahawa doktor pakar telah menemui sebiji bintil pulmonari yang berkemungkinan kanser dalam paru-paru kanannya ketika pemeriksaan kesihatan rutin.

Presiden itu telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada Khamis malam di Montevideo untuk menjalani satu biopsi pada Jumaat.

Vazquez “berada dalam keadaan yang baik dan berjaya menjalani prosedur itu tanpa sebarang komplikasi… laporan paling sahih akan dikeluarkan dalam tempoh beberapa hari lagi,” menurut kenyataan itu.

Pejabat presiden itu juga berkata rawatan akan ditentukan menerusi ujian yang sedang dijalankan.

Dr Zelarayan berkata beliau optimistik kerana tumor itu dikesan pada peringkat awal dan Vazquez mampu melengkapkan tempohnya sebagai presiden, yang akan berakhir pada Mac 2020. – Bernama, 24 Ogos, 2019


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen