Pakatan akan terima akibat jika lombong nadir bumi di Perak


Sheridan Mahavera

Marah kerana kerajaan bertukar pendirian terhadap kilang penapis nadir bumi Lynas di Pahang antara sebab utama mengapa penyokong PH berpaling arah pada pilihan raya kecil Tanjung Piai baru-baru ini, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2019.

ANTARA sebab utama mengapa penyokong Pakatan Harapan (PH) berpaling arah pada pilihan raya kecil Tanjung Piai baru-baru ini ialah kerana kerajaan menukar pendirian terhadap kilang penapis nadir bumi Lynas di Pahang, kata penganalisis.

Mereka memberi amaran keadaan sama akan berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak jika kerajaan PH tetap mahu melombong nadir bumi di Perak.

Ahli Parlimen PH, Wong Tack memberitahu The Malaysian Insight kerajaan bakal berdepan cabaran sengit terhadap sebarang cadangan untuk melombong nadir bumi di Perak ekoran trauma daripada kejadian kebocoran radioaktif di Bukit Merah pada 1980-an. 

“Isu Lynas belum lagi selesai tapi sekarang nak lombong di Perak pula. Rakyat akan bantah kerana mereka pernah lalui pengalaman buruk.”

Sebelum menyertai PH pada 2018, Wong mengetuai pergerakan Himpunan Hijau untuk menggesa kilang Lynas di Gebeng, Pahang ditutup.

Wong terus mendesak kerajaan menutup kilang Lynas dengan alasan syarikat tersebut tidak memenuhi janji untuk menghantar balik sisa radioaktifnya ke Australia.

Kilang Lynas diluluskan dan dibina semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum PRU13 pada 2013.

Penganalisis politik Lim Hong Siang berkata Himpunan Hijau sangat popular dan berjaya mendapatkan sokongan rakyat yang peka kepada isu alam sekitar kepada PH, terutamanya kepada DAP.

“Semasa Himpunan Hijau anjur perarakan dari Gebeng ke Kuala Lumpur pada 2012, ramai surirumah yang ikut serta.

“Mereka berjalan jauh di bawah panas terik matahari sebagai tanda sokongan kempen,” kata Lim, pengarah eksekutif badan pemikir Saudara.

Sokongan supaya kilang Lynas ditutup merupakan sebahagian daripada perjuangan memelihara alam sekitar untuk generasi masa sepan dan ia diterjemahkan melalui undian kepada PH pada PRU13 dan PRU14 yang lalu. – 29 November, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen