PEMUDA Umno memohon Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof supaya menutup sistem pendingin hawa semasa persidangan berlangsung, selepas timbalan menteri Mohamed Hanipa Maidin semalam mendakwa ahli Parlimen tidak berada di dewan kerana sejuk.
Dalam suratnya yang berbaur sindiran, Exco Pemuda Umno Shahrul Nasrun Kamarudin berkata beliau membuat permohonan itu demi keselesaan Ahli Parlimen Pakatan Harapan untuk berbahas di Dewan Rakyat.
“Ini kerajaan kami amat bersimpati serta rasa hiba dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang kesejukan dan tidak dapat hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi menjalankan tanggungjawab setelah dipilih oleh rakyat pada PRU14.
“Kami berharap Speaker dapat meluluskan permohonan kami demi menjaga kesihatan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan supaya dapat terus mengekalkan posisi mereka sehingga PRU15,” katanya dalam surat itu.
Tindakan menutup sistem pendingin hawa juga mampu mengurangkan bil elektrik dan penjimatan tersebut dapat digunakan untuk menambah bantuan kepada rakyat yang memerlukan, tambah Shahrul.
Surat tersebut diterima oleh Pejabat Speaker Dewan Rakyat hari ini.
Selasa lalu, pembangkang meminta supaya dibuat undian belah bahagi ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) oleh Timbalan Menterinya Hannah Yeoh.
Keadaan sedikit kecoh apabila kedua-dua blok penyokong kerajaan dan pembangkang mempersoalkan jumlah ahli Parlimen yang hadir sehingga memaksa Speaker meminta bentara membunyikan loceng bagi memanggil ahli Parlimen masuk ke dewan.
Ketika loceng dibunyikan, jumlah ahli Parlimen pembangkang yang berada di dalam dewan melebihi jumlah ahli-ahli Parlimen kerajaan. Bagaimanapun, setelah kiraan dibuat, usul itu diterima selepas lebih suara yang menyokong iaitu 32 orang berbanding 28 orang yang menolak.
Semalam, Hanipa menjelaskan bahawa apa yang berlaku pada Selasa malam adalah ahli-ahli Parlimen berada di luar Dewan Rakyat kerana suhu di dalam dewan sejuk.
“Kita ada cukup ahli Parlimen cuma kadang-kadang bila ahli Parlimen ini bukan mudah untuk berada dalam dewan dalam tempoh yang lama kerana dalam dewan tersebut sangat sejuk,” katanya.
Ketua Whip Pakatan Harapan (PH), Johari Abdul pula mendakwa ahli-ahli Parlimen kerajaan tidak hadir kerana keletihan membahaskan belanjawan di samping program lain yang berjalan serentak.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berulang kali menegur kehadiran ahli Parlimen ke Dewan Rakyat kerana ia memberi gambaran seolah-olah mereka tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. – 28 November, 2019.
Komen