Zakir Naik saman 2 lagi pemimpin DAP


Dr Zakir Naik kini sudah memfailkan saman terhadap empat orang pemimpin DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.

PENCERAMAH kontroversi Dr Zakir Naik memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy, lapor portal Free Malaysia Today.

Saman terbaru itu menjadikan setakat ini, empat pemimpin DAP disaman Zakir.

Beliau sebelum ini turut memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.

Dalam samannya itu, Zakir merujuk kepada pelbagai kenyataan dan artikel dikeluarkan media tempatan yang memetik keempat-empat ahli politik itu.

Beliau menuduh mereka melabelkannya sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Semua wakil rakyat DAP yang disaman itu adalah antara individu yang lantang mengecam penceramah kontroversi warga India itu, mendakwa ceramahnya menghina orang bukan Islam dan kehadirannya di Malaysia menjejaskan hubungan antara kaum.

Kecaman terbaru terhadap Zakir dibuat Santiago pada satu forum 25 November lalu, yang mendakwa penahanan 12 orang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibuat kerana pendirian DAP terhadap Zakir.

Antara 12 yang ditahan ada dua orang Adun DAP dari Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurut laporan FMT, Zakir dalam samannya menuntut keempat-empat mereka daripada menerbitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya serta permohonan maaf secara terbuka menerusi akhbar cetak dan laman portal.

Beliau turut menuntut pampasan dan ganti rugi tauladan.

Zakir dihendaki India kerana didakwa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan mencetuskan keganasan.

Pentadbiran Pakatan Harapan dikecam hebat kerana enggan membatalkan status penduduk tetap (PR) Zakir selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dalam ceramahnya beberapa bulan dahulu. – 28 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen