AHLI Parlimen Klang Charles Santiago menerima notis guaman daripada pendakwah Dr Zakir Naik.
Menurutnya, beliau akan berunding dnegan peguamnya untuk sebarang maklum balas.
“Saya sedang menunggu daripada pasukan peguam saya dan akan bertindak berdasarkan nasihat mereka.
“Saya akan memastikan media dan masyarakat umum dimaklumkan kerana ia melibatkan kepentingan awam,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi WhatsApp hari ini.
Santiago berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana sedang dalam sesi perbahasan belanjawan di Dewan Rakyat.
Malaysiakini hari ini melaporkan Zakir menghantar notis guaman kepada Santiago berhubung kenyataan yang mengaitkan beliau dengan penahanan sekumpulan individu yang dikaitkan dengan cubaan menghidupkan semula Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Menurut notis itu, ahli Parlimen Klang itu didakwa membuat kenyataan fitnah berkenaan ketika bercakap dalam satu acara di Kuala Lumpur pada 25 November.
Kenyataan itu kemudiannya dilaporkan oleh sebuah portal berita dengan tajuk, “Criticism of Zakir may have led to LTTE arrests.”
Zakir yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia memberikan tempoh 48 jam kepada Santiago untuk menarik balik kenyataan itu.
Ini bukan pertama kali pemimpin DAP dan Zakir bertelagah.
Pada 16 September, Santiago disoal siasat oleh polis selama beberapa jam kerana didakwa memfitnah dan membuat provokasi terhadap Zakir.
Santiago menggesa kerajaan untuk membincangkan mengenai apa yang dilihatnya sebagai Zakir mencampuri urusan negara.
Zakir turut membuat laporan polis terhadap Santiago, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, bekas duta Dennis Ignatius dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P. Ramasamy.
Penceramah itu dikehendaki oleh pihak berkuasa India kerana didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram dan menghasut keganasan.
Pentadbiran Pakatan Harapan turut dikritik kerana tidak menarik balik status PR Zakir selepas didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada satu ceramah beberapa bulan lalu.– 27 November, 2019.
Komen