Benarkah gerakan kiri lumpuh kerana ideologi?


Wan Hamidi Hamid

SATU anggapan popular tentang kegagalan gerakan kiri di Malaysia adalah kerana ideologinya. Andaian ini mengatakan sosialisme ditolak kerana ia ideologi yang dikatakan tidak percayakan Tuhan, mahu menjadikan semua orang sama rata, menentang perniagaan, dan ia sama dengan komunisme yang kejam.

Sosialisme juga dituduh satu ideologi asing di mana rakyat dipaksa tunduk kepda satu parti. Walaupun jelas ia adalah gambaran negara-negara komunis era Perang Dingin, mitos ini masih popular di kalangan orang yang malas berfikir, malah benci dengan kepelbagaian idea dan kebebasan bersuara.

Nilai-nilai sosialisme secara am kental dengan semangat Timur. Asasnya gotong-royong, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, ke bukit sama didaki ke lurah sama diturun, berdiri sama tinggi duduk sama rendah, bagai aur dengan tebing.

Sosialisme, seperti kata tokoh kemerdekaan Indonesia Sutan Syahrir, adalah “bekerja atas dasar kemerdekaan jiwa orang, atas dasar kerakyatan, atas dasar sukarela, muafakat dan kerjasama, dan tidak dengan paksaan seperti yang telah dilakukan di negeri-negeri totaliter dan diktator itu.”

Ia juga bukan satu ideologi tunggal. Ia wujud dalam pelbagai mazhab. Ada sosialisme yang radikal, sederhana, demokratik, tengah dan ada juga yang bersifat authoritarian, seperti yang ada dalam gerakan politik lain.

Pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, gerakan kiri menuntut kemerdekaan sepenuhnya manakala pada era selepas Merdeka, mereka mahu kerajaan bebas daripada pengaruh imperialis Barat.

Penindasan era penjajah

Selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, British kembali ke jajahannya setelah ditewaskan oleh imperialis Jepun pada awal perang tersebut. Sepanjang perang, tentera Inggeris bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya melawan Jepun.

Namun, apabila kembali menguasai Malaya, ia bimbang dengan kebangkitan rakyat menuntut merdeka. British bertindak ganas terhadap PKM serta golongan nasionalis kiri.

Ahmad Boestaman menjadi mangsa awal apabila pertubuhannya Angkatan Pemuda Insaf (API), sayap pemuda Partai Kebangsaan Melayu Malaya, diharamkan oleh Inggeris.

Beliau sendiri didakwa di bawah Akta Hasutan kerana risalahnya Testamen Politik API yang mengandungi slogan “Merdeka Dengan Darah”. API serta sayap wanita PKMM, iaitu Angkatan Wanita Sedar (Awas) turut diharamkan. Golongan yang bersekongkol dengan British tidak pula bersimpati dengan mereka.

Apabila Inggeris mengisytiharkan Darurat pada 1948, bukan sahaja PKM diharamkan dan diperangi, malah Boestamam yang pada masa itu berusia 28 tahun bersama rakan-rakan nasionalis kiri pelbagai kaum juga ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat. Turut ditahan adalah Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang lebih dikenali sebagai tokoh sasterawan, dan Khatijah Sidek yang kemudian terkenal sebagai tokoh Wanita Umno.

Sepanjang Ahmad Boestaman meringkuk dalam tahanan selama tujuh tahun, British terus bertindak keras terhadap mana-mana pihak yang dianggap kiri.

Apabila dibebaskan pada 1955, beliau menubuhkan Partai Rakyat Malaya untuk bertanding dalam pilihanraya umum pertama pada tahun yang sama. Setelah bertahun-tahun lamanya gerakan kiri dibungkam penjajah, Perikatan yang bekerjasama dengan British dengan mudah menang besar.

Penindasan pasca-Merdeka

Selepas Malaya Merdeka, undang-undang darurat penjajah terus digunakan untuk melemahkan gerakan kiri, terutamanya terhadap gabungan baru di antara Partai Rakyat dan Partai Buruh Malaya, iaitu Barisan Sosialis. Walaupun ditekan, gabungan kiri itu berjaya memenangi 8 kerusi Parlimen dan lebih 20 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ia juga menang di banyak kerusi Majlis Perbandaran.

Apabila British mencadangkan penubuhan Malaysia pada awal 1960-an bagi menggabungkan Malaya dengan Singapura, Sabah dan Sarawak, Presiden Indonesia Sukarno menentang gagasan itu yang didakwanya sebagai penjajahan baru imperialis Barat. Gagasan Malaysia pada ketika itu merupakan satu titik dalam jaluran politik global Perang Dingin antara Barat yang dipimpin Amerika Syarikat dengan blok Timur yang diterajui Soviet Union.

Golongan kiri yang menentang pembentukan Malaysia dikenakan tindakan di bawah undang-undang baru yang bernama Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Sekali lagi Boestamam (yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Setapak dalam PRU 1959) telah mencatat sejarah sebagai Ahli Parlimen pertama di negara ini yang menjadi mangsa tahanan tanpa bicara ISA pada 1963.

Lebih awal dari itu, Singapura yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew dengan kerjasama British telah menahan beramai-ramai aktivis kiri dalam Operation Cold Store pada Februari 1963. Antara yang menjadi mangsa adalah Said Zahari selaku Pengarang Utusan Melayu dan tokoh pembangkang kiri Lim Chin Siong.

Pada 1965, Pak Sako yang merupakan Pengerusi Barisan Sosialis di Malaysia ditahan lagi, kali ini di bawah ISA. Mangsa-mangsa lain termasuk Pengerusi PAS Burhanuddin Al-Helmy dan para pemimpin Partai Rakyat seperti Tajuddin Kahar, Nazar Nong dan Hasnul Hadi, dan orang kuat Partai Buruh Tan Kai Hee dan Dr M.K. Rajakumar.

Di Sarawak pula, ISA digunakan untuk melawan gerakan komunis yang bermula sejak 1960-an hingga 1970-an, walaupun perjanjian damai sepenuhnya dimeterai pada 1990.

Gerakan kiri terus jadi sasaran

Pada 1974, pemimpin Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM yang diubah nama daripada Partai Rakyat) Dr Syed Husin Ali ditahan di bawah ISA atas sokongannya terhadap demontrasi petani Baling, Kedah manakala Pengerusi PSRM Kassim Ahmad pula menjadi mangsa pada 1976 atas tuduhan mengancam keselamatan dalam negara. Masing-masing meringkuk selama enam dan lima tahun di dalam tahanan.

Hari ini, 30 tahun lalu, lebih 100 pemimpin dan aktivis termasuk daripada gerakan kiri telah ditahan tanpa di bawah ISA dalam Operasi Lalang. Beberapa bulan sebelum itu pada Mei 1987, Singapura memulakan tangkapan beramai-ramai di bawah ISA negara itu terhadap aktivis hak asasi dan keadilan sosial yang dituduh komunis.

Antara mangsa Operasi Lalang adalah pemimpin DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh dan P. Patto, pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu serta aktivis rakyat seperti Dr Kua Kia Soong, Irene Xavier, Dr Chandra Muzaffar, Cecilia Ng dan Dr Mohd Nasir Hashim yang kini merupakan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia.

Momokan terhadap sosialisme masih berterusan. Sejak zaman British di mana penjajah mempengaruhi pemikiran orang Melayu melalui kerjasama dengan bangsawan elit Melayu, tidak sukar untuk terus menakutkan rakyat dengan mempergunakan politik kaum dan agama.

Sosialisme ada buruk dan baiknya seperti mana-mana ideologi dan pemikiran politik lain. Walaupun sosialisme tidak semestinya merupakan suatu pegangan hidup yang terbaik, ia juga bukan punca utama gerakan kiri menjadi lemah di negara ini. Asas-asasnya disaluti semangat gotong-royong, muhibah dan setiakawan.

Yang melumpuhkannya adalah tindakan serampang dua mata, iaitu tekanan keras dan propaganda berterusan memburukkan sosialisme, tanpa membezakan kepelbagaian aliran dalam ideologi tersebut. – 27 Oktober, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen