30, 40 kes tipu sijil akademik dikesan setiap bulan, kata firma saringan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sekurang-kurangnya 400 kes pemalsuan sijil akademik melibatkan diploma dan ijazah dikesan tahun lalu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 November, 2019.

PURATA 30 hingga 40 tenaga profesional dikesan setiap bulan terlibat memalsukan sijil kelayakan akademik semasa memohon kerja, kata sebuah firma saringan maklumat Verity Intelligence Sdn Bhd.

Pengarah urusannya Mark Leow memberitahu saringan firma itu ke atas kira-kira 100,000 pekerja dalam tempoh 12 bulan sejak dua tahun lalu mengesan penipuan termasuk melibatkan doktor dan jurutera.

Pada tahun lalu saja, firma itu mengesan sekurang-kurangnya 400 kes pemalsuan sijil akademik melibatkan diploma dan ijazah, katanya.

Penipuan itu melibatkan pekerjaan kritikal seperti dalam bidang perubatan, perbankan, syarikat keselamatan, dan kejuruteraan petrokimia, serta termasuk syarikat milik kerajaan (GLC).

“Isu ijazah palsu ini serius. Kes yang paling popular melibatkan seorang doktor wanita yang berkhidmat di sebuah hospital swasta, kononnya lulusan dari Ireland tetapi sebenarnya tidak pernah tamat pengajian di sana,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Leow, “doktor wanita” itu pernah ditahan di Ireland dan Amerika Syarikat kerana menggunakan sijil akademik palsu, dan kemudian pulang bekerja di Malaysia.

“Selepas melalui proses saringan yang kami jalankan, pihak hospital mengarahkan dia berhenti kerja,” katanya.

Verity Intelligence yang diasaskan pada 2010 diiktiraf sebagai antara syarikat penapisan dan pengesahan maklumat latar belakang yang terkemuka di Malaysia dan Singapura.

Berdasarkan rekod firma itu, kes pemalsuan sijil akademik melibatkan kira-kira 70% institusi pengajian tempatan dan selebihnya 30% universiti luar negara.

Menurut Leow, antara ijazah universiti tempatan yang popular jadi mangsa penipuan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Pihak pengurusan universiti berkenaan tahu hal ini,” katanya.

Pada Februari lalu, The Malaysian Insight melaporkan ijazah palsu dijual beli melalui Internet di Malaysia dengan harga serendah RM12,000.

Sindiket pemalsuan sijil akademik itu juga mendakwa mendapat bantuan daripada “orangd alam” di institusi pengajian tinggi.

The Malaysian Insight menyiarkan laporan itu pada awal tahun ini ketika heboh dakwaan beberapa pemimpin politik termasuk menteri, timbalan menteri dan menteri besar tidak mempunyai kelulusan akademik seperti yang mereka papar pada rekod latar belakang.

Pengarah Urusan Verity Intelligence Sdn Bhd Mark Leow berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga punca mengapa orang sanggup menipu sijil akademik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 November, 2019.

Kenapa menipu?

Leow memberikan sekurang-kurangnya tiga punca kenapa orang sanggup menipu sijil akademik.

Pertama, kesukaran mendapat pekerjaan dalam bidang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan.

Kedua, kesedaran rendah dalam kalangan majikan untuk membuat semakan dan pengesahan maklumat, dan ketiga, kecanggihan teknologi percetakan yang memudahkan pemalsuan dokumen.

“Dengan teknologi percetakan hari ini, ijazah palsu memang nampak hampir sama dengan ijazah asli, memang sukar untuk mengesan ketulenannya dengan mata kasar.

“Namun jika ada majikan yang mahu pihak kami membuat pemeriksaan dan pengesahan, kami bersedia melakukannya mengikut prosedur yang betul termasulah merujuk ijazah itu kepada universiti yang mengeluarkannya,” kata Leow.

Jelas beliau, setiap semakan itu melibatkan kos antara RM100 hingga RM500, bergantung pada jenis saringan dan tahap risikonya.

Leow juga memberitahu kes pemalsuan sijil akademik ini semakin parah kerana sudah dijual beli melalui Internet dengan “harga mampu milik.”

“Isu ini akan beri kesan kepada masyarakat seterusnya sistem pendidikan negara kita.

“Memang setakat ini memiliki ijazah palsu tidak dianggap penjenayah tetapi perbuatan itu libatkan integriti apatah lagi jika melibatkan ketua syarikat dan pemimpin politik,” katanya.

Selain ijazah palsu untuk mencari kerja, Verity Intelligence juga mengesan ramai rakyat Malaysia juga menggunakan butiran peribadi palsu, rujukan majikan palsu, sejarah pekerjaan dan gaji lama yang palsu, kata Leow.

“Ada kes yang kami kesan secara berulang, malah ada individu yang sudah dikenali oleh kebanyakan staf yang membuat pemeriksaan latar belakang kerana sering dirujuk kepada kami untuk semakan,” katanya.

Menurut Leow, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan majikan mematuhi integriti dalam urusan pengambilan pekerja dan vendor.

“Kami akan menjalankan program penggajian selamat dengan SPRM dan syarikat swasta.

“Ia bagi memastikan pekerja yang diupah itu menepati syarat integriti selain tiada unsur rasuah dalam pengambilan staf baru,” katanya.– 28 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen