Pakatan dan déjà vu era Pak Lah


Wan Hamidi Hamid

BARISAN Nasional (BN) dikejutkan dengan kebangkitan rakyat pada 2008. Dalam pilihan raya umum (PRU) tahun tersebut, BN kehilangan dua pertiga majoriti Parlimen serta lima negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Pelbagai ulasan diberikan untuk menjelaskan fenomena yang disebutkan sebagai tsunami politik itu. Yang paling jelas perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak lagi popular walaupun BN menang lebih 90% kerusi Parlimen dalam PRU sebelumnya pada 2004.

Mengapa Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Pak Lah tidak lagi popular selepas empat tahun dijulang dengan gelaran Mr Clean serta dipuji dek janji-janji reformasinya?

Jawapan mudahnya adalah kerana beliau gagal menunaikan janji tersebut, dan telah membangkitkan kemarahan semua kaum dari pelbagai sudut.

Pak Lah dituduh oleh orang Melayu sebagai mengabaikan kepentingan Melayu manakala kaum Cina dan India pula mendakwa beliau takut untuk melaksanakan janji yang dibuat bagi kaum tersebut. Rakyat juga kecewa dengan kegagalannya melaksanakan reformasi yang dijanjikan.

Kini kita berada di penghujung 2019 selepas lebih setahun setengah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad – yang kembali menerajui kerajaan setelah bersara daripada politik pada 2003.

Kini kita berada dalam keadaan déjà vu, iaitu perasaan bahawa kita melihat sesuatu seperti ia pernah berlaku sebelum ini. 

Apa maksudnya? Rakyat yang gembira memilih PH pada 9 Mei 2018 kini marah dengan kerajaan yang ada – hampir sama seperti femonena era Pak Lah dahulu. Kemarahan sekarang juga datang dari semua sudut daripada semua kaum.

Orang Melayu, terutamanya melalui desakan dan propaganda Umno-PAS, menuntut kerajaan PH agar memenuhi kehendak mereka. Mereka mendakwa Melayu terancam di bawah pentadbiran PH. 

Sebagai kaum majoriti, golongan Melayu ini – sama ada bernas atau tidak – mahu hak dan kedudukan yang lebih tinggi daripada apa yang ada hari ini.

Kebanyakan mereka juga melihat tuntutan kaum bukan-Melayu sebagai mencabar maruah Melayu. 

Orang bukan-Melayu pula marahkan kerajaan PH kerana menganggap hak dan keperluan mereka dipinggirkan.

Janji manifesto tidak ditepati. Mereka rasa diri ditekan oleh politik kaum dan agama yang dibawa oleh PAS-Umno yang dilayan pula oleh sesetengah pimpinan Melayu dalam PH.

Selain itu, rakyat juga menuntut janji reformasi institusi serta amalan demokrasi dan kebebasan, terutamanya pemansuhan undang-undang zalim dan penggubalan akta yang menjurus kepada keharmonian kaum dan hak setara. 

Dengan kemelut seperti semua ini, mudah sekali isu diletuskan dengan emosi kaum dan perkauman. 

Contohnya, janji pengikitrafan sijil Unified Examination Certificate (UEC), pengenalan tulisan Jawi di sekolah, kematian seorang anggota bomba dalam pergaduhan kaum di kuil di Selangor, penangkapan suspek kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kehadiran pendakwah kontroversi dari India Dr Zakir Naik, cadangan dan bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan beberapa isu.

Setiap isu disokong oleh majoriti satu kaum secara khusus, dan dibantah pula oleh majoriti kaum yang lain pula.

Juara satu kaum menjadi musuh utama kaum yang satu lagi. Suasana ini yang menimbulkan kegelisahan di kalangan semua kaum.

Sehubungan itu, setelah beberapa pilihan raya kecil (PRK) diadakan di mana kekuatan PH dan BN dilihat sama kuat, akhirnya PRK Tanjung Piai di Johor mencatatkan satu sejarah buruk untuk PH apabila ia berakhir dengan kekalahan majoriti yang amat besar, iaitu 15,086 undi.

Pelbagai tanggapan awal dibuat untuk mencari punca tewasnya PH yang merupakan penyandang di kawasan tersebut. 

Sudah pasti hal yang biasa didengar seperti salah pilih calon, tiada kerjasama antara pelbagai pihak yang berwajib, kelemahan menyediakan poster, peralatan dan bahan kempen lain, dan kegagalan publisiti. 

Sebagai orang yang turut berada di lapangan sepanjang kempen PRK itu, saya akui ia merupakan pemerhatian yang adil.

Namun, ia tidak lagi relevan apabila jumlah majoriti undi kekalahan PH terlalu besar. Ia bukan permasalahan tempatan.

Ini bererti post-mortem sebenar bukan lagi berada di tahap akar umbi tetapi perlu dibincangkan di peringkat tertinggi, sama ada pentadbiran negeri, pimpinan pusat PH atau Kabinet Persekutuan.

Undi protes di Tanjung Piai ditujukan kepada kerajaan pusat PH, iaitu hampir sama dengan apa yang diluahkan oleh pengundi pada PRU 2008 terhadap BN.

Pengundi Tanjung Piai seperti tidak peduli lagi sama ada undi mereka akan dijadikan alasan untuk “memutihkan” Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi yang kini berhadapan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Malah, pengundi Cina juga tidak peduli sama ada undi mereka dianggap sebagai sokongan kepada Muafakat Nasional yang menggabungkan PAS-Umno. 

Bagi mereka, PH perlu diajar kerana dikatakan terlalu lembab dalam reformasi, terbawa-bawa dengan gaya pemerintahan Umno-BN dahulu, dan terus meminggirkan keperluan kaum bukan-Melayu.

PRK Tanjung Piai mencerminkan tuntutan untuk melihat ketegasan dan keberanian politik pucuk pimpinan PH.

Majoriti rakyat mahu melihat pimpinan yang tegas, bukan keras; berani, bukan zalim; jujur, bukan bermuka-muka; dan berpegang kepada janji, bukan kerap U-turn. Mereka juga bosan dengan alasan, sindiran dan keangkuhan pimpinan tertinggi PH.

Belum terlambat untuk pimpinan PH memujuk rakyat yang sedang dilanda duka, kecewa, dan marah. Lebih baik laksanakan segera janji pilihan raya. 

Tidak perlu terlalu berhati-hati atau takut dengan musuh. Tidak perlu menunjuk-nunjuk kononnya kehebatan gaya kepimpinan; cukup sekadar memberanikan diri untuk menunaikan janji. – 27 November, 2019.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen