2 Adun diminta jelaskan ketidakhadiran mereka, kata Fahmi


Chan Kok Leong

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil meminta dua Adun PKR menjelaskan ketidakhadiran mereka semasa pemilihan senator semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2019.

ADUN PKR Ginie Lim (Machap Jaya) dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) diminta untuk menjelaskan ketidakhadiran mereka semasa pemilihan senator semalam, kata Fahmi Fadzil.

“Kami akan meminta mereka menjelaskan,” kata Pengarah Komunikasi PKR itu kepada pemberita di lobi Parlimen pagi tadi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, parti itu masih cuba mendapatkan maklumat tambahan dan akan membuat kenyataan penuh sebaik sahaja mendapat semua fakta.

“Keadaan ini yang tidak diingini dan paling dibimbangi PKR. Tetapi saya ingin katakan bahawa kita menyokong sepenuhnya kerajaan negeri Melaka,” katanya.

Semalam dilaporkan seorang calon PKR Halim Bachik gagal menjadi senator apabila pelantikannya ditolak oleh ahli Dun Melaka dalam undian semasa persidangan.

Dua Adun partinya tidak hadir untuk menyokong Halim, yang menyebabkan pengerusi PKR Melaka itu hanya mendapat 12 undi daripada 25 Adun yang hadir. 

Seorang lagi Adun yang tidak hadir adalah G Saminathan dari DAP yang masih ditahan polis atas tuduhan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam.

Selepas usul ditolak pemimpin parti pembangkang negeri Idris Haron (Umno-Sg Udang) mencadangkan Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh sebagai senator dan meminta supaya pengundian dibuat serta merta.  

Ini menimbulkan perbalahan dalam persidangan berkenaan. Ia hanya diselesaikan selepas berunding dengan penasihat undang-undang negeri Mohamad Abazafree Mohd Abbas yang berkata sebarang usul mesti dimaklumkan kepada speaker terlebih dahulu.

Speaker Melaka Omar Jaafar kemudian menangguhkan persidangan berkenaan.

Persidangan Dewan Undangan Negeri itu berakhir hari ini. – 26 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen