Adun PKR tak hadir, calon Anwar gagal jadi senator Melaka


Nabihah Hamid

Persidangan DUN Melaka yang berlangsung hari ini. Seorang calon PKR, Halim Bachik gagal menjadi senator apabila pelantikannya ditolak oleh ahli Dun Melaka dalam undian semasa persidangan hari ini. – Gambar Facebook, 25 November, 2019.

SEORANG calon PKR, Halim Bachik gagal menjadi senator apabila pelantikannya ditolak oleh ahli Dun Melaka dalam undian semasa persidangan hari ini.

Dua Adun partinya tidak hadir untuk menyokong Halim, yang menyebabkan pengerusi PKR Melaka itu hanya mendapat 12 undi daripada 25 Adun yang hadir.

Ia gagal mengatasi undi daripada 13 Adun Umno yang menentang pelantikannya.

Dua Adun yang tidak hadir itu adalah wakil rakyat Machap Jaya, Ginie Lim dan juga Muhammad Jailani Khamis, wakil Rembia.

Mengulas perkara itu, satu sumber PKR mendakwa dua wakil rakyat itu tidak hadir kerana merupakan penyokong Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Calon dicadangkan sebagai ahli Dewan Negara itu pula merupakan pilihan Anwar, kata sumber berkenaan yang dekat dengan pemimpin tertinggi PKR.

“Halim merupakan calon pilihan Anwar. Dia tidak digemari dua adun PKR yang merupakan penyokong Azmin.

“Waktu pelantikan pengerusi negeri Melaka pun pernah ada pertikaian,” kata sumber itu yang enggan namanya disebut.

Seorang lagi Adun yang tidak hadir adalah G Saminathan dari DAP yang masih ditahan polis atas tuduhan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam.

Nama senator pilihan PKR itu dicadangkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang menyifatkan penyelaras Dun Tanjung Bidara itu sebagai seorang individu berwibawa.

Speaker Dun Melaka Omar Jaafar menangguhkan persidangan apabila Dewan menolak cangan Adly untuk melantik Halim sebagai senator. – 25 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen