Masalah dengan gaji minima


Zaidel Baharuddin

MEMANG indah kalau gaji minima ditetapkan pada kadar yang tinggi, contohnya RM1800 atau RM1500 misalnya. Ini bukan sahaja akan dapat menarik warga tempatan untuk mengambil tugas-tugas yang biasanya dikendalikan oleh warga asing, tetapi juga membantu golongan berpendapatan rendah untuk menangani kos sara hidup.

Namun perlu diingatkan, walaupun ada niat murni dalam setiap dasar yang hendak diperkenalkan ada timbal balas yang perlu difikirkan dan izinkan saya mengutarakan pandangan mengenai isu yang mungkin akan timbul sekiranya gaji minima yang tinggi dilaksanakan.

Sekiranya kita membeli atau menjual rumah, antara kaedah yang digunakan oleh penilai hartanah untuk meletakkan harga pada satu-satu hartanah itu ialah dengan membuat perbandingan dengan harga hartanah di sekelilingnya.

Sebagai contoh, dua buah unit rumah yang sama, katakanlah unit rumah sebuah bungalow, akan berbeza harganya bergantung kepada lokasi. Harga rumah di Ipoh akan berbeza dengan di Johor Bahru atau Lembah Pantai misalnya.

Kita tidak akan luahkan sebarang rasa tidak puas hati dan rata-rata orang ramai boleh menerima akan hakikat ini kerana lumrah mengikut hukum pasaran, sudah pasti harga tanah berbeza mengikut tempat dan nilai hartanah sekelilingnya. Sebab itu, pembangunan di kawasan sekeliling akan menaikkan nilai satu-satu hartanah itu berbanding dengan harga sebelumnya.

Sebagai contoh, sebuah rumah yang berdekatan dengan sebuah stesen MRT yang akan dibina sudah pasti akan meningkat harganya, dan hukum ini juga tertakluk dengan penurunan harga hartanah yakni rumah walau indah mana sekalipun akan jatuh harganya jika ianya berdekatan dengan kawasan yang baru sahaja berlaku kejadian tanah runtuh atau mempunyai kadar jenayah yang tinggi.

Begitu juga dengan tangga gaji, antara kaedah yang digunakan untuk menawarkan gaji satu-satu pekerjaan adalah dengan mengambil kira tawaran penjawatan yang sama di syarikat yang lain. Sebab itu, dengan mudahnya kita dapat mengagak  gaji permulaan bagi seorang doktor, peguam dan arkitek graduan.

Maka apabila kita menentukan gaji minima, kita mesti sedar bahawa kesannya bukanlah sekadar kepada mereka yang menerima gaji minima, tetapi mereka yang mendapat gaji di tangga yang lebih atas.

 Sebagai contoh, dengan pengenalan gaji minima katakanlah RM1500 sebulan, ini bermaksud semua pekerja dari pembersih (cleaner), pengawal keselamatan hinggalah ke penghantar (despatch boy) akan menerima gaji pembukaan sebanyak RM1500 sebelum sebarang tuntutan lebih masa (overtime) atau tuntutan-tuntutan lain. Ini bermaksud mereka yang berada di tangga gaji yang atas dari pekerja bergaji minima ini, contohnya juruteknik, pomen kenderaan, jururawat, pengasuh dan sebagainya akan menuntut kenaikan gaji pada gaji asas mereka.

Cuba bayangkan senario di sebuah tadika atau pusat penjagaan kanak-kanak. Sebelum pengenalan gaji minima, seorang pengasuh kanak-kanak akan mendapat gaji asas katakanlah sebanyak RM1600 (tidak termasuk tuntutan lain). Dengan pengenalan gaji minima RM1500, perbezaan gaji asas antara pembersih dan pengasuh berkenaan hanyalah sekadar RM100 sahaja.

Sudah tentu pengasuh akan meminta kenaikan gaji kerana tanggungjawab yang dipikul serta kemahiran yang diperlukan oleh seorang pengasuh adalah jauh lebih tinggi dari seorang pembersih atau pengawal keselamatan. Anda mungkin akan mempersoalkan, biarkanlah gaji pengasuh itu dinaikkan, apa salahnya kalau dia menerima gaji yang lebih tinggi? Benar, apa salahnya, cuma anda agaklah, katakanlah semua pengasuh terpaksa dinaikkan gajinya, rasanya yuran tadika serta pusat penjagaan naik atau kekal?

Isu gaji ini akan memberi kesan kepada golongan pertengahan yakni mereka yang langsung tidak akan menerima sebarang kesan kepada gaji mereka dengan peningkatan gaji minima tetapi akan mendapati kos sara hidup mereka akan meningkat khususnya dalam perbelanjaan sektor perkhidmatan .

Walaupun dijangkakan dari segi harga barangan tiada sebarang perubahan yang ketara, namun dijangkakan peningkatan harga akan berlaku pada sektor perkhidmatan, dari membaikpulih kenderaan, sektor pembinaan dan ubah suai rumah hinggalah kepada perkhidmatan asuhan kanak-kanak yang mana akan memberi kesan utama kepada golongan pertengahan yang tinggal di kawasan bandar.

Ini bukanlah pendapat yang unik memandangkan corak yang sama juga kita dapat lihat di kalangan negara maju, di mana kos mendapatkan perkhidmatan khususnya yang memerlukan kemahiran amat tinggi dan ini merupakan corak pertumbuhan ekonomi yang biasa dalam kita mencapai status negara maju.

Namun, bezanya dengan negara-negara ini adalah nilai matawang mereka yang tinggi menyebabkan harga barangan adalah jauh lebih rendah, seterusnya mengimbangi kos sara hidup mereka. Kita tidak payah melihat jauh, ambil contoh Singapura, walaupun matawang mereka lebih tinggi dan harga barangan mereka rendah berbanding matawang mereka, kos perkhidmatan begitu tinggi seterusnya mengimbangi kualiti hidup berbanding dengan kita di Malaysia.

Namun, sekiranya kesan kenaikan kos perkhidmatan juga berlaku di sini, saya kira ia akan memberi kesan ketara kepada golongan kelas pertengahan.

Secara tuntasnya ingin saya mengingatkan bahawa saya bukanlah anti kepada perlaksanaan peningkatan gaji minima. Penulisan ini adalah peringatan kepada mereka yang merangka dan mencadangkan dasar atas dasar laba politik, sesungguhnya setiap cadangan itu ada kesan ekonomi yang besar dan kita wajar berfikir panjang sebelum mencadangkan sesuatu yang mempunyai kesan yang besar.

Untuk perlaksanaan cadangan ini, yakni menaikkan kadar gaji minima, wajar kita berusaha untuk memperbesarkan dahulu golongan kelas pertengahan di negara ini dan sebarang cadangan kenaikan gaji minima wajar disertakan dengan pelan tindakan ekonomi yang secara menyeluruh. – 26 Oktober, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen