Datang mesyuarat dulu, Fahmi beritahu Zuraida


Ravin Palanisamy

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menegaskan menteri dan pemimpin parti supaya hadir masyuarat dan membincangkan perkara, bukan mengeluarkan kenyataan di media. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2019.

TIMBALAN Presiden PKR Zuraida Kamaruddin akan tahu mengapa parti memecat seorang ahli jawatankuasa pimpinan pusat semalam jika beliau hadir mesyuarat parti, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Fahmi mengulas kenyataan Zuraida hari ini yang membidas tindakan parti yang disifatkannya sebagai “pilih bulu” memecat Zakaria Abd Hamid iaitu bekas setiausaha Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Ketua Cabang PKR Bera itu bersama seorang lagi ahli PKR dipecat berkuat kuasa semalam atas dakwaan terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

“Dia cakap tentang ‘pilih bulu’. Saya rasa kalau beliau hadir mesyuarat biro politik mingguan dan juga mesyuarat majlis pimpinan pusat semalam, maklumat penuh yang disampaikan kepada kami cukup jelas untuk tindakan diambil (terhadap Zakaria),” kata Fahmi kepada pemberita di Parlimen hari ini. 

Beliau sekali lagi menegaskan pemimpin parti hadir masyuarat dan membincangkan perkara, dan bukan mengeluarkan kenyataan di media.

“Jadi saya tegaskan anda dan dengan pimpinan yang lain perlu sentiasa hadir mesyuarat.

“Gunakan ini (mesyuarat parti) untuk bincangkan perkara dan bukan untuk kita keluarkan kenyataan kepada media. Bagi saya itu tidak menyelesaikan masalah dan hanya bantu untuk merumitkan keadaan,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim berkata keputusan memecat Zakaria dan seorang lagi ahlinya, Ismail Dulhadi dibuat selepas mendapat nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi surat bertarikh 23 Oktober 2019.

Ia berkaitan dengan dakwaan pelanggaran syarat dan peraturan dalam pemilihan parti tahun lepas.

Fahmi berkata tindakan memecat Zakaria diambil selepas menerima laporan penuh SPRM.

Zakaria dalam kenyataannya semalam berkata pemecatan dibuat tanpa memberinya peluang untuk membela diri. 

Bagaimanapun, Zakaria boleh merayu keputusan tersebut, tambah Fahmi.

“Perlembagaan parti membenarkan mana-mana ahli yang dipecat merayu kepada presiden untuk diterima semula sebagai ahli.” – 25 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen