Zuraida kecam PKR pilih bulu pecat ahli


Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mempersoalkan tindakan parti itu memecat dua ahlinya semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2019.

PKR perlu tegas dalam tindakannya ke atas mana-mana ahli parti yang melanggar undang-undang dan tidak boleh bersikap pilih bulu, kata Naib Presiden Zuraida Kamaruddin.

Tambahnya, tindakan parti memecat bekas setiausaha politik Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, Zakaria Abd Hamid yang dikaitkan dengan dakwaan korupsi dan rasuah adalah tindakan berani “yang membawa rebah” kepada semangat Reformasi dijunjung parti itu.

Ahli Parlimen Ampang itu mempersoalkan jika benar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya parti bertindak terhadap ahli yang masih belum dibuktikan bersalah di mahkamah, PKR juga perlu bertindak ke atas ahli lain yang jelas melanggar undang-undang negara.

“Ia seperti kes pukul, samseng, meminta rasuah semasa pemilihan parti dan beberapa kes lagi yang sememangnya diketahui umum,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Walaupun Zuraida tidak menamakan sesiapa, dipercayai gesaannya itu antara lain merujuk kepada Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador yang juga pembantu Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Farhash ditahan polis Ogos lepas kerana terkait dengan kes membelasah orang di Ampang.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim berkata keputusan memecat Zakaria dan seorang lagi ahlinya, Ismail Dulhadi dibuat selepas mendapat nasihat SPRM menerusi surat bertarikh 23 Oktober 2019.

Ia berkaitan dengan dakwaan pelanggaran syarat dan peraturan dalam pemilihan parti tahun lepas.

Zakaria yang juga ketua Bahagian Bera didakwa menawarkan kontrak berjumlah RM20,000 dan peruntukan mencecah RM300,000 dalam pertemuannya dengan pemimpin cabang pada 1 September lalu, menjelang pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Susulan pemecatan itu, Zakaria dalam kenyataan berkata ia dibuat tanpa peluang diberikan kepadanya untuk membela diri.

Zuraida berkata lagi, pemecatan itu hanya membangkitkan persoalan tentang sikap pilih bulu PKR dalam menegakkan keadilan.

“Saya dengan ini mengecam tindakan pilih bulu yang dilakukan parti dan menggesa supaya reformasi kepimpinan dilakukan segera, sekiranya parti ini ingin diselamatkan,” katanya. – 25 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen