PKR pecat 2 ahli terlibat rasuah


Bede Hong

Keputusan memecat dua ahli PKR itu dibuat selepas parti menerima sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 November, 2019.

PKR menamatkan keahlian seorang ahli jawatankuasa pusat Zakaria Abdul Hamid dan seorang ahli biasa Ismail Dulhadi kerana terlibat dalam rasuah, kata pengerusi Jawatankuasa jdisiplin parti Ahmad Kassim.

“Mereka dipecat serta-merta berkuat kuasa hari ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Zakaria merupakan bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Ahmad berkata keputusan itu dibuat selepas parti menerima sepucuk surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 23 Oktober lalu.

“Bukti menunjukkan berlakunya rasuah,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil tanpa mengulas lanjut.

Fahmi tidak menyatakan sama ada SPRM akan mendakwa kedua-dua mereka.

Ahmad berkata surat penamatan keahlian itu akan dikeluarkan hari ini dan mereka mungkin mengetahui perkara ini menerusi media.

Satu laporan polis dibuat terhadap Zakaria kerana didakwa menyalahguna kuasa semasa pemilihan PKR pada tahun lepas.

Penyelaras Pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razab membuat laporan kepada SPRM pada 25 September dengan dakwaan Zakaria menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk memberi kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 dalam mesyuarat bersama pemimpin tempatan di Pahang pada 1 September.

Ahmad Syukri mendakwa semasa pertemuan itu, setiausaha politik Baru itu menawarkan kontrak untuk membaiki infrastruktur bernilai RM20,000 kepada setiap pemimpin tempatan yang hadir.

Beliau juga mendakwa tawaran itu mempunyai kaitan dengan pemilihan PKR yang sedang berlangsung pada waktu itu.

Ahmad Syukri juga menyerahkan bukti termasuk aduan pengadu, gambar pertemuan, rakaman suara dan beberapa lagi dokumen. – 24 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen