Pemimpin PKR mahu tindakan disiplin ke atas Hilman


Nabihah Hamid

Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul berkata Lembaga Disiplin parti perlu bertindak ke atas pemimpin berkenaan yang menentang keputusan AMK. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 November, 2019.

PEMIMPIN PKR mahu tindakan disiplin diambil terhadap Timbalan Ketua AMK Hilman Idham dan segelintir pemimpin lain yang tidak menghormati keputusan rasmi pergerakan itu.

Mereka melihat pemimpin pemuda berkenaan bertindak dengan tidak wajar kerana masih menuntut agar kongres dirasmikan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Seorang daripadanya, Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul berkata Lembaga Disiplin parti perlu bertindak ke atas pemimpin berkenaan yang menentang keputusan AMK.

“Agak pelik bila timbalan ketua AMK (mahu Azmin rasmi kongres) sedangkan keputusan dibuat AMK secara padu, secara rasmi. Tapi timbalan AMK (paksa keputusan berbeza).

“Keputusan ini agak luar biasa dan ada sesuatu tak kena. Sudah tentu saya kira lembaga disiplin harus bertindak kerana ini suatu tindakan yang luar biasa,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga berkata, jalan terbaik untuk menyelesaikan perbezaan pendapat itu adalah dengan bersuara di platform yang betul.

“Dalam mana-mana organisasi pun kita ada perbezaan pendapat. Sebab itu Anwar (Ibrahim) sebagai presiden menyatakan (jika) ada perbezaan anda kena datang mesyuarat,” kata Johari lagi.

Hilman merupakan kepala dalam gerakan yang mahu Azmin merasmikan kongres sedangkan AMK secara rasmi memutuskan perhimpunan itu akan dirasmikan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

AMK yang dipimpin Ketuanya Akmal Nasir memutuskan penasihat PKR yang juga timbalan perdana menteri merasmikan kongres 6 Disember itu.

Tindakan Hilman dan kumpulannya turut dikecam Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh yang melihat pemimpin AMK berkenaan melanggar peraturan parti tersebut.

Beliau berpendapat kumpulan yang setia kepada Azmin itu sengaja cari alasan supaya dipecat.

“Terserah pada biro politik untuk buat keputusan. Pada saya kalau ada tindakan pun mereka memang tidak dengar. Sebab mereka sudah tanam dalam fikiran mereka mahu dipecat.

“Saya kira parti lebih kuat daripada itu. Biarlah nyamuk-nyamuk ini buat bising tetapi saya yakin parti tetap kukuh dalam agenda reformasi.

“Mereka tidak ikut peraturan parti. Mereka hanya mahu menegakkan agenda peribadi bukan perjuangan parti,” kata ahli Parlimen Kuantan itu.

Beberapa pemimpin PKR mahu tindakan displin dikenakan ke atas Timbalan Ketua AMK Hilman Idham dan segelintir pemimpin lain yang tidak menghormati keputusan rasmi parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2019.

Beliau juga menyeru agar kedua-dua fraksi tersebut menyelesaikan perbezaan pendapat dalam mesyuarat AMK.

“Jadi (jika) hendak tegur, tegur dalam mesyuarat. Ikut platform yang betul. Sepatutnya semua orang dalam parti boleh buat,” kata timbalan menteri itu lagi.

Akmal juga menggesa tindakan perlu dikenakan ke atas pemimpin yang mempunyai masalah disiplin serta serta sering bertindak keterlaluan.

Tegasnya, Lembaga Disiplin PKR bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas pemimpin berkenaan yang mengeluarkan kenyataan keterlaluan.

Konflik dalam AMK berlarutan sejak sejak pemilihan parti tahun lalu.

Pergerakan itu terbelah dua kepada kumpulan yang menyokong Azmin atau fraksi yang mengangkat Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden parti.

Azmin serta beberapa lagi pemimpin yang dipengaruhi timbalan presiden PKR itu pula kini dilihat tidak sehaluan dengan Anwar dan sering memulaukan mesyuarat utama parti.

Azmin juga secara terbuka menentang rancangan agar Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa perdana menteri kepada Anwar sebelum tamat penggal.

Dalam satu kenyataannya, beliau menyokong agar Dr Mahathir berkhidmat sehingga akhir penggal. – 25 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen