Sayap Pemuda PKR kumpulan Hilman umum Azmin rasmi kongres


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham ketika bercakap kepada pemberita di Shah Alam malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 November, 2019

SAYAP Pemuda PKR terus berpecah dua dengan masing-masing yang diketuai ketua Akmal Nasir dan timbalannya Hilman Idham menetapkan tarikh kongres nasional tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Kumpulan yang diketuai Hilman malam ini membuat keputusan meminda tarikh kongres nasional AMK kepada sehari lebih awal untuk dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Perasmian kongres itu akan diadakan serentak dengan perasmian Kongres Nasional Wanita PKR pada 5 Disember, kata Hilman, yang juga setiausaha politik Azmin.

Keputusan kumpulan itu bertentangan dengan pengumuman Akmal sebelum ini bahawa kongres nasional sayap itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 6 Disember.

“Perasmian Kongres Nasional Pemuda Pusat akan diteruskan mengikut tradisi dan konvensyen organisasi dengan ucapan dasar oleh timbalan presiden pada 5 Disember 2019 di MITC Melaka,” kata Hilman, kepada pemberita, di Shah Alam.

Hilman mengumumkan keputusan itu selepas bermesyuarat dengan 132 daripada 196 pimpinan Pemuda PKR peringkat cabang malam tadi.

Pertemuan itu berlangsung selama 3 jam.

Pucuk pimpinan PKR sebelum ini menegaskan hal ehwal pengurusan kongres sayap diuruskan masing-masing oleh sayap pemuda dan wanita.

“Belum pernah ada dalam sejarah perasmian kongres ini kita buat perasmian penutup, jadi sebab itu kita akan teruskan perasmian pembukaan ucapan dasar oleh timbalan presiden pada 5 Disember bersama-sama dengan sayap Wanita PKR,” kata Hilman, yang juga Adun Gombak Setia.

Jelas Hilman, keputusan malam tadi juga dipersetujui Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan Azmin sendiri.

Menurut Hilman, semua pimpinan Pemuda PKR yang hadir pada mesyuarat malam ini akan menggerakkan kekuatan mereka di negeri masing-masing bagi memastikan keputusan meysuarat itu dilaksanakan.

Akmal sebelum ini mengumumkan keputusan pihaknya membatalkan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan kongres Pemuda PKR.

Keputusan itu bagaimanapun dibantah oleh 21 daripada 25 anggota pimpinan pusat AMK yang terpilih, yang juga menyokong Azmin sebagai timbalan presiden semasa pemilihan parti setahun yang lalu.

Azmin kemudian mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ di belakang keputusan membatalkan jemputan kepadanya.

Menurut Akmal, keputusan memecah tradisi tidak menjemput timbalan presiden itu dibuat dalam mesyuarat Pemuda PKR pada 20 Oktober lalu.

Sementara itu, kumpulan Hilman turut menyokong tindakan PKR Sarawak membatalkan konvensyen negeri selagi pimpinan pusat tidak menyelesaikan isu dalaman parti itu.

“Kami bermuafakat dan bersolidariti dengan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri Sarawak yang tuntas mempertahankan idealisme dan prinsip perjuangan PKR yang luhur.

“Demokrasi, autonomi dan kebebasan bersuara harus dipertahankan oleh setiap kepimpinan dan anggota PKR,” katanya.

Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam ini bagaimanapun memutuskan kongres negeri di Sarawak akan diteruskan pada Sabtu ini.– 21 November, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen