Konvensyen PKR Sarawak diteruskan, putus biro politik 


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil ketika bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November, 2019

KONVENSYEN PKR Sarawak tetap akan diteruskan mengikut jadual hujung minggu ini biarpun ada bantahan daripada pimpinan parti negeri, kata pengarah komunikasi parti Fahmi Fadzil.

Keputusan itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat malam tadi, katanya.

“Kita dah bincang beberapa perkara pada malam ini antaranya konvesyen negeri Sarawak akan tetap diteruskan pada Sabtu ini,” katanya kepada wartawan di Parlimen, selepas selesai mesyuarat.

Ditanya adakah keputusan tersebut mendapat persetujuan pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, Fahmi berkata satu kenyataan akan dikeluarkan oleh pengarah konvesyen negeri Nik Nazmi Nik Ahmad.

Awal hari ini, Baru menegaskan keputusan ibu pejabat mahu meneruskan konvensyen negeri tidak menghormati autonomi yang diberikan kepada pimpinan negeri untuk menguruskan hal ehwal PKR Sarawak.

Beliau mengulangi kenyataannya minggu lalu PKR Sarawak tidak akan menganjurkan konvensyen negeri selain pucuk pimpinan tidak menyelesaikan isu jemputan sayap pemuda kepada Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan kongres tahunannya bulan depan.

Nik Nazmi dalam reaksi balas pada hari sama menegaskan konvensyen parti di Sarawak pada 23 November ini tetap diteruskan. – 20 November, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen