Anwar faham masalah peralihan kuasa, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim sedar wujud masalah dan ketegangan yang timbul dalam isu peralihan kuasa perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 November, 2019.

ANWAR Ibrahim sedar wujud masalah dan ketegangan yang timbul dalam isu peralihan kuasa perdana menteri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata dalam pertemuan mereka di Putrajaya hari ini, Anwar juga bersetuju ketegangan timbul kerana segelintir pihak membangkitkan soal tarikh peralihan kuasa tersebut.

“Anwar kata beliau sedar masalah yang dihadapi dan keperluan untuk mengurangkan ketegangan yang ditimbulkan sesetengah pihak seperti tarikh berkenaan peralihan kuasa,” kata Dr Mahathir kepada wartawan.

Beliau ditemui selepas majlis pra pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Anwar di pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana.

Anwar dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu berkata pendirian mereka berdua mengenai peralihan kuasa perdana menteri, seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan dan dijanjikan berulang kali oleh Dr Mahathir, tidak berubah.

“Saya memaklumkan isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama,” kata Anwar.

Mereka juga setuju untuk menumpukan perhatian pada pertumbuhan ekonomi dan mempersiapkan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

“Kami juga tidak bersetuju sekiranya ada usaha lain yang menyimpang dari persetujuan tersebut atau menggunakan nama saya dan perdana menteri dalam mana-mana muslihat lain.

“Perdana menteri turut mengambil perhatian mengenai dakwaan terhadap kalangan anggota jemaah menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek,” kata Anwar lagi.  – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen