PENDIRIAN Dr Mahathir Mohamad berhubung isu penyerahan kuasa seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan tetap sama dan perdana menteri tidak bersetuju namanya digunakan oleh beberapa pihak dengan agenda yang berbeza, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR berkata ini adalah antara perkara yang telah dibincangkan dengan Dr Mahathir dalam pertemuan selama 30 minit di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
“Pendirian Dr Mahathir dan saya berhubung isu peralihan kuasa sama sekali tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) dan dijanjikan berulang kali oleh perdana menteri.
“Saya memaklumkan isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.
“Kami juga tidak bersetuju sekiranya ada usaha lain yang menyimpang dari persetujuan tersebut atau menggunakan nama saya dan perdana menteri dalam mana-mana muslihat lain,” katanya.
Anwar berkata beliau dan Dr Mahathir bersetuju untuk menumpukan perhatian pada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan ke arah penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata perdana menteri mengambil perhatian mengenai dakwaan terhadap anggota jemaah menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek.
Malah Anwar juga berkata beliau telah mendapat persetujuan perdana menteri untuk mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini.
Di bawah perjanjian PH sebelum pilihan raya umum lepas Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menetapkan tempoh masa untuk penyerahan itu walaupun beliau berulang kali mengatakan akan berpegang pada perjanjian berkenaan. – 21 November, 2019.
Komen