Setiausaha PKR Sarawak ancam isytihar konvensyen tak sah


Desmond Davidson

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian semalam berkeras untuk tidak mengadakan konvensyen selagi pemimpin tertinggi gagal menyelesaikan isu dalaman parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2019.

SETIAUSAHA PKR Sarawak Vernon Kedit memberi amaran konvensyen yang mahu diteruskan juga di Miri pada Sabtu ini akan diisytiharkan tidak sah.

“Apa-apa konvensyen di dalam negeri Sarawak yang dibuat tanpa persetujuan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak adalah tidak sah,” kata Kedit menerusi surat bertarikh 18 November yang ditandatangani oleh setiausaha penganjur konvensyen, Lana Akam.  Ia kemudiannya dikongsikan oleh PKR Sarawak menerusi mesej WhatsApp kepada wartawan di negeri itu dan organisasi media.

Kedit mengeluarkan amaran itu ketika penyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng dituduh cuba mengambil alih konvensyen dan mendesak ia diteruskan mengikut arahan kepimpinan tertinggi parti.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian semalam berkeras untuk tidak mengadakan konvensyen selagi pemimpin tertinggi gagal menyelesaikan isu dalaman parti termasuk berkaitan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali.

Ahli Parlimen Selangau itu berkata perkara itu turut mengaitkan isu perpaduan dalam PKR Sarawak yang menurutnya banyak terjejas sejak pemilihan parti tahun lalu.

Beliau turut menegaskan pemimpin pusat perlu akur dengan keputusan menangguhkan konvensyen kerana penganjurannya terletak bawah bidang kuasa PKR negeri.

“Keputusan yang dibuat oleh ibu pejabat PKR untuk meneruskan konvesyen mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dan sekali gus melanggar perjanjian bersama tersebut,” kata Baru pada sidang media semalam.

Baru juga berkata keputusan membatalkan konvensyen itu mendapat persetujuan 32 daripada 42 ahli MPN Sarawak.

PKR Sarawak minggu lalu mengumumkan pembatalan konvensyen mereka susulan bantahan terhadap keputusan Pemuda PKR tidak menjemput Azmin merasmikan kongres sayap tersebut.

Pengarah konvensyen negeri Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun menegaskan penganjuran konvensyen parti negeri itu diteruskan seperti dibincangkan dengan pimpinan PKR Sarawak sejak September lepas. – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen