PKR Sarawak berkeras untuk tidak mengadakan konvensyen selagi pemimpin tertinggi gagal menyelesaikan isu dalaman parti termasuk berkaitan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali.
Pengerusinya Baru Bian yang menegaskan perkara itu turut mengaitkan isu perpaduan dalam PKR Sarawak yang menurutnya banyak terjejas sejak pemilihan parti tahun lalu.
Katanya, PKR Sarawak itu juga menganggap rancangan pemimpin parti peringkat pusat untuk mengadakan konvensyen Sabtu ini sebagai pencerobohan ke atas autonomi mereka.
“Kami sangat terkesan dan terkilan dengan beberapa peristiwa yang mengkhianati prinsip keadilan dan demokrasi di dalam parti.
“Kami ingin nyatakan sekali lagi kenyataan ini bukanlah berunsur ugutan tetapi satu keperluan untuk mendesak pimpinan parti nasional untuk menyelesaikan masalah dalaman parti,” katanya.
Dalam sidang media hari ini, Baru menegaskan pemimpin pusat perlu akur dengan keputusan menangguhkan konvensyen kerana penganjurannya terletak bawah bidang kuasa PKR negeri.
“Keputusan yang dibuat oleh ibu pejabat PKR untuk meneruskan konvesyen mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dan sekali gus melanggar perjanjian bersama tersebut,” kata Baru.
Keputusan itu ditegaskan PKR Sarawak minggu lalu susulan bantahan terhadap keputusan Pemuda PKR tidak menjemput Azmin merasmikan kongres sayap tersebut.
Turut hadir dalam sidang media hari ini adalah 16 daripada 19 ketua cabang yang menyokong pembatalan konvensyen berkenaan. PKR mempunyai 30 ketua cabang di Sarawak
Mengulas lanjut mengenai masalah dalam PKR Sarawak, Baru mendakwa wujud gerakan untuk menyingkirkannya sebagai pengerusi parti di negeri itu.
Beliau juga menyebut terdapat akuan bersumpah tertentu dibuat dan juga bayaran wang tertentu di kalangan ketua cabang di negeri itu untuk menjatuhkannya.
“Kami percaya gerakan untuk menjatuhkan (saya) sebagai pengerusi MPN Sarawak juga dirancang untuk dilaksanakan pada konvesyen Sarawak nanti.
“Perkara ini sangatlah melanggar prinsip demokrasi dan kami dengan tegas dan keras menolak gerakan tersebut.
“Kami dengan ini menggesa pimpinan pusat nasional untuk bersatu-padu demi parti dan menghormati autonomi PKR Sarawak dalam urusan yang membabitkan negeri Sarawak sendiri,” kata Baru.
Baru dalam sidang medianya hari ini turut berkata, keputusan membatalkan konvensyen itu juga dipersetujui 32 daripada 42 ahli MPN Sarawak.
Pemimpin berkenaan terdiri daripada empat ahli Parlimen, tiga ahli dewan undangan negeri (Adun), 17 ketua cabang, lima timbalan ketua cabang dan sembilan lagi pemimpin PKR Sarawak.
“Hanya 11 ketua cabang dan dua ketua pemuda PKR yang tidak bersependapat dengan pihak majoriti. Seorang mengambil pendirian berkecuali,” kata Baru.
Beliau bagaimanapun berkata, tiada tindakan akan diambil MPN Sarawak sekiranya konvensyen itu tetap diteruskan.
“Kalau mereka nak hadir biarkan mereka hadir,” kata Baru.
PKR Sarawak minggu lalu mengumumkan pembatalan konvensyen mereka susulan bantahan terhadap keputusan Pemuda PKR tidak menjemput Azmin merasmikan kongres sayap tersebut.
Pengarah konvensyen negeri Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun menegaskan penganjuran konvensyen parti negeri itu diteruskan seperti dibincangkan dengan pimpinan PKR Sarawak sejak September lepas.
Konvensyen PKR Sarawak dijadualkan berlangsung pada 23 November ini di hotel Pullman di Miri. – 20 November, 2019.
Komen