Anwar nafi khabar angin jumpa Agong


Ravin Palanisamy

Presiden PKR Anwar Ibrahim menolak khabar angin yang mengatakan beliau mengadakan pertemuan dengan Yang Di-Pertuan Agong hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

KHABAR angin pertemuan antara Yang Di-Pertuan Agong dan Anwar Ibrahim hari ini adalah berita palsu, kata Presiden PKR.

“Jangan mudah percaya dengan berita palsu,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Anwar yang tiba di Parlimen kira-kira 10 pagi ini berkata beliau tidak bercadang untuk bertemu dengan Agong apabila ditanya mengenai mesej yang tular di dalam kumpulan Whatsapp yang beliau pergi ke Istana Negara untuk bertemu dengan Agong. 

Khabar angin itu berlaku di tengah-tengah spekulasi untuk menyingkirkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan usaha balas mengekalkan beliau berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) yang lebih buruk dijangkakan dalam PRK Tanjung Piai baru-baru ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, khabar angin adalah kerja mereka yang lemah dalam politik.

“Ini percubaan oleh mereka yang lemah. Apabila mereka tidak mempunyai kuasa, mereka guna fitnah dan penipuan,” katanya.

Beliau menambah orang ramai harus belajar untuk membezakan fitnah dan tidak terpengaruh dengan berita palsu.

“Ini adalah percubaan kecil dan sengaja untuk memfitnah. Saya harap kita tidak dipengaruhi olehnya sebab ia akan berlaku setiap hari,” katanya.

Anwar berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Agong adalah pada 16 Oktober lepas dan tidak ada mesyuarat yang dijadualkan berlaku di istana.

Sementara itu pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu pemberita bahawa beliau akan membuat laporan polis mengenai khabar angin Anwar telah pergi ke istana.

Perkembangan ini susulan pertemuan pada malam Isnin yang dianjurkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di kediamannya bersama 22 ahli Parlimen Barisan Nasional dan beberapa ahli Parlimen PRK yang kononnya membincangkan cara untuk mengekalkan kuasa Dr Mahathir.

Azmin menafikan spekulasi mengenai pertemuan itu dan berkata ia adalah mesyuarat biasa.

Azmin juga secara terbuka mengisytiharkan sokongan kepada Dr Mahathir untuk terus berkhidmat sehingga akhir penggal dari menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.  – 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen