TIADA perkara yang luar biasa di sebalik pertemuan dengan ahli Parlimen Barisan Nasional di kediamannya malam tadi, kata Mohamed Azmin Ali.
Menteri hal ehwal ekonomi itu juga turut menolak cakap-cakap yang mengatakan pertemuan itu adalah untuk memastikan Perdana Menteri Mahathir Mohamad kekal memegang jawatan itu selepas kekalahan Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Tanjung Piai Sabtu lalu.
Azmin berkata, sebagai menteri beliau bertemu dengan rakyat dari pelbagai latar belakang dan tiada sebab untuk menimbulkan spekulasi berhubung mesyuarat yang diadakan dengan ahli Parlimen malam tadi.
“Ia hanya mesyuarat biasa dan tiada sebarang perkara luar biasa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata, pengkhususan kerjanya sebagai menteri adalah bertemu dengan ramai orang.
“Setiap hari saya ada mesyuarat. Saya ada banyak mesyuarat. Terdapat orang yang berbeza…kumpulan yang berbeza.
“Sesiapa yang mahu jumpa saya, saya akan jumpa. Saya jumpa dengan orang, komuniti perniagaan, ahli Parlimen dari PH dan bukan PH, kerana sebagai sebuah kerajaan ianya penting untuk menjaga rakyat, kami mahu maklum balas daripada mereka berkenaan dasar kerajaan.
“Ini tiada yang luar biasa yang perlu diganggu,” katanya.
Timbul spekulasi bahawa ahli Parlimen BN pergi ke kediaman Azmin untuk mesyuarat bagi menghalang cubaan memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Antara ahli Parlimen yang hadir adalah Hishamuddin Hussein. Turut dinyatakan bahawa bekas naib presiden Umno itu mempunyai kaitan dengan usaha bagi memasukkan ahli partinya untuk menyertai Pakatan Harapan.
Mesyuarat berkenaan bermula pukul 9.30 malam dan berlangsung selama dua jam.
Mereka yang dilihat meninggalkan kediaman Azmin selepas itu masih enggan mengulas mengenai apa yang dibincangkan.
Azmin dikritik kerana pertemuan yang diadakan secara rahsia dan kerana mengadakannya di kediamannya dan bukan di Parlimen.
Ahli Parlimen Umno yang hadir pada pertemuan itu dijangka akan dipanggil pengerusi lembaga disiplin parti, Apandi Ali, manakala pimpinan PKR masih menjangkakan penjelasan daripada Azmin pada mesyuarat biro politik esok.
Bagaimanapun, Azmin sudah tidak menghadiri mesyuarat biro politik dan pimpinan PKR kira-kira setahun, berikutan pertelingkahan antara pihaknya dan presiden parti Anwar Ibrahim.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat biro politik partinya esok, Azmin berkata beliau perlu melihat jadualnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata, kebiasaannya beliau hadir mesyuarat parti sekiranya tidak urusan rasmi lain.
Azmin juga berkata beliau tidak ingat berapa mesyuarat yang beliau tidak hadir namun menyatakan beliau merekodkan kesemuanya.
“Saya tak ingat. Terlalu banyak kerja. Tetapi saya rekodkan bila saya ada dalam negara dan tiada urusan rasmi kerajaan, saya hadiri program parti.
“Namun bila ada urusan kerajaan, saya beri keutamaan kerana ianya penting,” katanya. – 19 November, 2019.
Komen